Hishammuddin
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan dakwaan beliau mahu melarikan diri daripada disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sambil melahirkan rasa hairan, Hishamuddin yang juga Ahli Parlimen Semborong (BN) bertegas, hasrat mencari jutawan Low Taek Jho atau Jho Low di China atas kapasiti peribadi dan tidak mempunyai agenda tertentu.

Malah Hishamuddin mencabar SPRM untuk menyiasatanya kerana berpendapat beliau tidak mempunyai unsur rasuah yang membolehkan suruhanjaya itu menjalankan siasatan ke atasnya.

“Apa yang SPRM ada untuk mendakwa saya? Saya tak rasuah kalau nak siasat mengapa sehingga kini SPRM tidak memanggil saya.

“Dalam perkara ini, saya langsung tidak bimbang. Kalau orang hendak cakap, cakaplah. Jika mereka kata saya takut dengan SPRM biar badan itu dedahkan apakah perkara yang hendak disiasat,” katanya.

Hishammuddin diminta mengulas cadangan beliau mencari Jho Low bertujuan untuk ‘melarikan diri’ daripada sebarang siasatan SPRM terhadap kepimpinan kerajaan terdahulu berhubung pelbagai skandal rasuah dan salahguna kuasa.

Sebelum ini, bekas Menteri Pertahanan itu menawarkan diri menjejaki Jho Low yang dipercayai berada di China untuk dibawa pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam pada itu, Hishamuddin menjelaskan, beliau akan bekerjasama dengan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam menyalurkan segala maklumat yang diperoleh berkaitan ahli perniagaan tersebut.

“KPN sendiri telah menyatakan sebelum ini bahawa beliau mengalu-alukan apa usaha yang saya boleh secara peribadi bantu mereka dalam siasatan berhubung kait dengan Jho Low,” katanya.

Bagaimanapun Hishammuddin memaklumkan beliau sehingga kini belum berkesempatan untuk ke China mencari lelaki paling dikehendaki ketika ini.

“Belum lagi, saya tak ada masa sekarang ini tetapi hubungan saya dengan rakan-rakan di sana telah pun dimaklumkan bahawa saya akan ke China. Saya juga tidak pasti jika dia berada di China.

“Perbelanjaan ke China juga atas pembiayaan saya sendiri dan bukan oleh mana-mana pihak. Saya cuma mahu kebenaran itu didedahkan dan sudah tentu lelaki bernama Jho Low ini akan dapat membantu,” katanya. – MalaysiaGazette