PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan Timbalan Pengarah Keluarga, Sosial dan Pembangunan Komuniti JAKIM, Dr Mohd Izwan Md Yusof, berhubung jumlah gay yang kini dianggarkan 310,000 orang.

Namun katanya, program perkhemahan (pemukiman) untuk golongan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender) akan diteruskan badan itu bagi membendung gejala negatif ini dari terus berakar umbi di negara ini.

“Program Mukhayyam JAKIM akan berterusan. Apa yang kita buat itu secara umumnya, dan mereka sertai secara sukarela,” katanya selepas mengiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dalam Muzakarah Ahli Majlis Penasihat Syariah Institut Kewangan di Malaysia kali ke 14 di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan sama ada JAKIM sudah bertemu dengan golongan itu secara berdepan.

Mohamad Nordin mengulas mengenai pertanyaan media berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, Isnin lalu.

Mujahid berkata, tidak semua 310, 000 gay terlibat dengan kegiatan songsang.

Katanya, golongan seumpama ini hanya mempunyai kecenderungan dan ada yang telah meninggalkan gaya hidup sedemikian.

“Daripada jumlah itu ada yang mempunyai keinginan sahaja jadi kita tangani dari awal.

“Ada yang terlibat perbuatan songsang itu dan dia sedar ia tidak betul dan mereka balik semula,” katanya semasa sidang media di lobi Parlimen semalam.

Sebelum ini, pakar isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata jumlah gay di Malaysia dianggarkan berjumlah 310,000.

Katanya, berdasarkan Statistik Kementerian Kesihatan, hanya terdapat sebanyak 173,000 orang pada lima tahun lalu. -MalaysiaGazette