Sekumpulan remaja meluangkan masa hujung minggu dengan sukan wall climbing ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Cabaran Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 16 APRIL 2017

PUTRAJAYA – Putrajaya yang sinonim sebagai wilayah pentadbiran kerajaan pusat bakal dimajukan sebagai bandar mesra belia bagi memenuhi keperluan penduduknya di masa akan datang, kata Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Beliau berkata Putrajaya sebagai satu bandar terancang perlu sentiasa menjadi destinasi utama pilihan umum untuk dilawati atas pelbagai aktiviti yang dapat dianjurkan selain keunikan taman-taman yang dimiliki di wilayah berkenaan.

“Sebanyak 60 peratus penduduk di Putrajaya adalah penjawat awam dan kira-kira lima peratus adalah golongan pesara dan kami mendapati anak-anak mereka lebih berminat untuk menceburi bidang lain-lain (bukan perkhidmatan awam).

“Maka dengan perubahan gaya hidup ini memerlukan kami bersedia untuk menjadikan Putrajaya seiring dengan kehendak semasa dan akan datang,” katanya pada sesi pertemuan dengan Kelab Media Putrajaya di sini.

Mengambil kedudukan Putrajaya yang bersebelahan dengan bandar pintar, Cyberjaya, Aminuddin berkata peluang baru juga harus diterokai untuk turut menjadikan Putrajaya sebagai bandar keusahawanan kepada syarikat-syarikat permulaan tempatan.

“Kami mempunyai kawasan yang luas, oleh itu kapasiti dan keupayaan harus diolah untuk membolehkan wilayah ini turut sama dapat berkecimpung dalam membantu syarikat permulaan tempatan,” katanya.

Katanya Putrajaya juga amat bertuah apabila menjadi dua bandar pilihan kerajaan selain Cyberjaya untuk dijadikan perintis ujian rangkaian 5G bermula tahun depan sebagaimana yang diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo pada 9 Okt lalu.

“Kami tidak harus hanya melihat peluang 5G ini hanya untuk kegunaan telefon mudah alih malah ia boleh dikembangkan untuk pembinaan kereta tanpa pemandu serta aplikasi lain yang lebih kehadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata pihaknya kini sedang meneliti kajian untuk melihat kewajaran pelaksanaan projek pembinaan monorel Putrajaya yang tertangguh sejak 14 tahun lalu.

“Kami masih menjalankan analisis imbangan kos, yang kami lihat monorel lebih sesuai dibina di Putrajaya memandangkan kami hanya perlu meneruskan pembinaan yang terbengkalai sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak dapat mengumumkan bila projek monorel yang diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri ketika itu, namun ditangguhkan oleh pengganti beliau, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2004 dapat diteruskan semula.

“Sekiranya dilaksanakan, ia akan menghubungkan seluruh presint dan beberapa lokasi tumpuan serta bangunan kerajaan yang utama,” katanya.

Infrastruktur monorel termasuk laluan terowong bawah tanah dan jambatan gantung dilaporkan hampir siap sepenuhnya.

— BERNAMA