Sebahagian Orang Kena Tangkap (OKT) pada Ops Perdana mengenai operasi penyalahgunaan dadah kawasan PPR dan Projek Perumahan Awam (PPA) di PPR Intan Baiduri, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 31 OKTOBER 2018
Sebahagian Orang Kena Tangkap (OKT) pada Ops Perdana mengenai operasi penyalahgunaan dadah kawasan PPR dan Projek Perumahan Awam (PPA) di PPR Intan Baiduri, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 31 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Ada guna WhatsApp dan ada bakar mercun bagi ‘membocorkan’ serbuan pihak penguat kuasa dalam Operasi Perdana Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sekitar ibu kota awal pagi tadi.

Itu antara taktik penagih dadah yang dikesan bagi membantu rakan-rakannya melarikan diri atau menyorok bekalan dadah masing-masing dalam taklimat pegawai AADK kepada ketua pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Ia mungkin salah faktor tidak ramai penagih dadah berjaya dicekup setiap kali ada operasi pihak penguat kuasa di kawasan awam terutama penempatan.

Bagaimanapu, dalam operasi yang sama, AADK berjaya menahan seramai 108 penagih dadah  dan daripada jumlah itu seramai 95 adalah lelaki manakala 13 lagi wanita.

Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia lingkungan dari 19 hingga 41 tahun.

“Lokasi bertumpu di kawasan sekitar Brickfields, Cheras, Dang Wangi dan Sentul. Seramai 60 pegawai dan anggota AADK negeri serta dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dikerahkan dalam operasi itu.

“Turut terlibat lima anggota pasukan Rela, 10 anggota dari DBKL, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam dan lima pegawai Jabatan Pendaftaran Negara,” kata Zulkifli kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

AADK
Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah pada Ops Perdana mengenai operasi penyalahgunaan dadah kawasan PPR dan Projek Perumahan Awam (PPA) di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 31 OKTOBER 2018

Jelas Zulkifli, tidak ada sebarang penemuan dadah ditemui dalam operasi itu dan mereka yang ditahan adalah selepas dilakukan ujian saringan air kencing.

Terdahulu, pada sesi taklimat sebelum operasi berkenaan bermula, media dimaklumkan sejumlah 49 penagih telah ditahan menerusi fasa pertama yang bermula sejak pagi semalam.

Seramai 44 daripada 55 orang yang disaring merupakan lelaki dan operasi itu ditamatkan pada pukul 2 petang sebelum disambung semula awal pagi hari ini.

Operasi berkenaan bertumpu di beberapa kawasan perumahan seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan beberapa buah flat.

Media turut dimaklumkan sasaran operasi itu adalah bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah secara kecil-kecilan selain membasmi aktiviti penyalahgunaan dadah disemua peringkat usia. – MalaysiaGazette