Jamal Khashoggi. foto Reuters

ISTANBUL – Jamal Khashoggi telah dicekik, menurut kenyataan rasmi pertama oleh Turki.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beberapa minggu laporan pembunuhan Khashoggi di konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Khashoggi memasuki konsulat itu bagi mendapatkan dokumen untuk perkahwinannya.

Namun, setakat ini Turki masih belum menunjukkan bukti tentang pembunuhan Khashoggi.

Ketua Pendakwa Raya Turki, Irfan Fidan berkata, pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Arab Saudi pada minggu ini masih belum adalah keputusan konkrit.

Arab Saudi juga belum mengulas mengenai pertemuan itu.

Kenyataan Turki itu berkata: “Selaras dengan rancangan awal, mangsa, Jamal Khashoggi, telah dibunuh sejurus selepas memasuki Konsulat Jeneral Arab Saudi.”

Tubuhnya kemudian dikerat dan dimusnahkan “juga selaras dengan rancangan awal”, tambahnya.

Khashoggi adalah warga Arab Saudi yang berkerja untuk media Amerika Syarikat – dikenali kerana mengkritik pemerintahan Riyadh.

Sehingga hari ini mayat Khashoggi masih belum ditemui tetapi Turki, Amerika Syarikat dan Arab Saudi bersetuju bahawa wartawan itu telah dibunuh di dalam konsulat.

Cuma masih belum ada keputusan bagaimana dia dibunuh.

Dalam pertemuan Pendakwa Raya itu, beliau mahu Arab Saudi menjawab tiga soalan iaitu di mana mayat Khashoggi, adakah mereka mempunyai maklumat baharu mengenai rancangan pembunuhan tersebut dan siapakah orang tempatan yang bekerjasama dalam pembunuhan itu.

Seorang pegawai Saudi yang tidak dinamakan sebelum ini memberitahu agensi berita Reuters bahawa badan Khashoggi telah digulung di dalam karpet dan diberikan kepada “pengendali tempatan”, untuk melupuskannya.

Pada hari Rabu, delegasi menjawab soalan secara bertulis, menurut Turki.

Arab Saudi berkata, jawapannya hanya boleh diperoleh daripada penyiasatan bersama. Ia juga menyatakan bahawa ia tidak pernah memberikan kenyataan rasmi mengenai kewujudan “pengendali bersama”.

Bagaimanapun, seorang jurucakap kanan Parti AK berkata, pembunuhan itu tidak dapat dilakukan tanpa arahan dari seseorang yang mempunyai kedudukan tinggi.

Arab Saudi menafikan keluarga dirajanya terlibat. – MalaysiaGazette