Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof (tengah) bergambar kenangan bersama peserta yang hadir pada Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Tahun 2018 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2018.

BANGIĀ – Penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) penguatkuasa agama perlu dilakukan bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa meskipun mengetahui laporan jenayah syariah tidak berasas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, terdapat kes di mana penguatkuasa meneruskan serbuan khalwat meskipun pasangan sudah berkahwin.

“Sebelum ini ada banyak isu seperti salah guna kuasa, ada orang beritahu kadang kala mereka sudah sudah berkahwin pun tapi dia mari rempuh juga.

“Kemudian ada yang ambil kesempatan dalam serbuan itu tangkap gambar. Semua perkara ini kita perlu ketatkan SOP,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah 2018 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENS WP), di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof bercakap pada sidang media selepas Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Tahun 2018 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2018.

Mujahid juga berkata, SOP baharu perundangan jenayah syariah juga tidak terhad kepada penguatkuasa agama sahaja bahkan penghakiman syariah juga wajar menggunakan pendekatan pemulihan berbanding menghukum semata-mata.

“Dalam penghakiman hari ini, kita sedang teroka dengan serius satu perubahan daripada infinitif kepada restoratif.

“Ia bermakna bukan para hakim menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada terus menghukum tapi perlu juga ambi kira aspek lain yang falsafahnya ialah bersifat restoratif dari segi pemulihan.

“Contoh dia (pesalah) boleh disuruh buat kerja-kerja komuniti, boleh diberi bon di mana keluarganya menjadi penjamin dan boleh dibimbing dengan kesalahan supaya ia tidak diulangi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette