Kumpulan Sabyan Gambus yang berasal daripada Indonesia.
Kumpulan Sabyan Gambus yang berasal daripada Indonesia.

KUALA LUMPUR – Sebuah lagu berunsurkan keagamaan, Deen As Salam semakin diterima di Malaysia dengan tontonan di Youtube yang melebihi 162 juta.

Ekoran itu, pengalunnya, kumpulan Sabyan Gambus dari Indonesia akan mengadakan konsert di negara ini pada 12 Januari depan.

Konsert Sabyan Gambus Live In Malaysia 2019 yang bakal berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam.

Dipetik sebagai berkata ketua pegawai eksekutifnya, Muhamad Hariz Harun, populariti kumpulan itu semakin mendapat tempat dalam kalangan pendengar tempatan dan merupakan intipati utama kenapa mereka berani mengetengahkan bakat baharu itu di Malaysia.

“Ini merupakan konsert pertama berskala besar yang kami anjurkan, sebelum ini kami hanya uruskan acara pentas berskala sederhana. Insya Allah kami akan bekerja kuat bagi memastikan Konsert Sabyan Gambus Live In Malaysia mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Konsert yang akan berlangsung selama tiga jam itu turut menampilkan artis nasyid tempatan seperti kumpulan UNIC, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi sebagai artis pembukaan,” katanya.

Untuk rekod, Sabyan Gambus yang mula ditubuhkan pada tahun 2015 dianggotai enam orang ahli iaitu Nissa, Ayus, Wawan, Kamal, Tebe dan Anisa.

Selain popular dengan lagu saduran Deen As Salam, mereka turut dikenali dengan lagu seperti Ya Habibal Qolbi, Rohman Ya Rohman dan Ya Asyiqol.

Selain konsert, penganjur turut mengadakan Karnival Geng Sabyan yang akan berlangsung selama tiga hari bermula dari 11 hingga 13 Januari 2019. -MalaysiaGazette