KUALA LUMPUR – Malaysia Baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dinamik dan berwawasan telah mendorong keyakinan bahawa segala cabaran ekonomi akan dapat diharungi.
Malah, keyakinan terhadap pentadbiran dan kepimpinan Dr. Mahathir boleh dicerminkan melalui penawaran Kerajaan Jepun untuk menjamin sehingga JPY200 bilion (lebih kurang RM7.4 bilion) penerbitan bon Samurai bertempoh 10 tahun.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, penerbitan bon itu akan dijamin oleh Japan Bank of International Cooperation pada kadar kupon 0.65% dan dijangka terbit sebelum Mac tahun depan.
“Kami ingin mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Jepun kerana sudi menawarkan jaminan ke atas penerbitan bon samurai,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat.
Katanya, sungguhpun negara menghadapi cabaran fiskal, sektor kewangan masih sihat dan sektor monetari kekal stabil.
Pertumbuhan ekonomi mampan, katanya, harus diteruskan demi menjaminkan kesejahteraan ekonomi, malah penjanaan hasil yang lebih tinggi akan membantu untuk menangani kedudukan kewangan awam.
Kesimpulannya, menurut Guan Eng, titik bersejarah pada 9 Mei 2018 hanya bermakna sekiranya keadaan fiskal kerajaan kembali pulih dan taraf hidup rakyat meningkat dalam bentuk gaji yang lebih tinggi, pekerjaan yang lebih baik dan lebih wang untuk berbelanja.
“Selagi kita bersih, berjiwa rakyat dan memberi tumpuan untuk melaksanakan reformasi institusi, maka kita dapat memulihkan kedudukan fiskal dalam masa tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata, rasa cinta terhadap tanahair akan menyatukan rakyat dalam menghadapi cabaran masa muka. Sebagaimana yang disarankan perdana menteri Malaysia umpama Harimau Asia yang selama ini tidur lena, sekarang bangkit mengaum semula. – MalaysiaGazette