Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan panggilan Jho Low.
Low Taek Jho

KUALA LUMPUR  – Dua bekas pegawai bank Goldman Sachs dan ahli perniagaan, Jho Low telah didakwa dengan pertuduhan jenayah Amerika Syarikat berhubung skandal kewangan terbesar di dunia.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa, mereka menyertai skim yang mencuri berbilion ringgit daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Seorang bekas pegawai Goldman mengaku bersalah, kata jabatan itu.

Seorang lagi pegawai bank tersebut telah ditahan manakala Jho Low masih bebas.

Pendakwa Raya berkata, Jho Low yang mempunyai hubungan dengan pegawai kerajaan dan bertindak sebagai penasihat tidak rasmi kepada 1MDB, mengekalkan pengakuan tidak bersalah, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan perundangannya.

Beliau sebelum ini menafikan dakwaan yang difailkan di Malaysia, sambil menambah bahawa “mustahil” baginya untuk menerima perbicaraan yang adil di sana.

“Low hanya meminta orang ramai supaya fikiran terbuka terhadap kes ini sehingga kesemua keterangan itu menjadi jelas, ” kata kenyataan itu.

Goldman yang meraih wang daripada 1MDB berkata, firma itu akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkuasa yang menyiasat kes tersebut.

Ia merupakan pendakwaan jenayah pertama yang membabitkan skandal 1MDB di Amerika Syarikat.

Pihak berkuasa berkata, berbilion ringgit telah diseludup dari dana negara untuk membeli hasil seni, harta, jet peribadi – dan membiayai filem Wolf of Wall Street yang dibintangi oleh Leonardo DiCaprio.

Skandal itu telah menyebabkan siasatan dijalankan di beberapa negara, malah menjadi punca kepada kekalahan kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pilihan raya umum yang lalu.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat telah memfailkan saman sivil bagi mendapatkan semula barangan mewah dan wang tunai serta barangan lain yang dibeli menggunakan wang 1MDB.

Tim Leissner
Tm Leissner. foto WSJ

Dalam kes ini, pendakwa raya berkata, bekas pegawai Goldman, Tim Leissner dan Roger Ng telah bekerjasama dengan Low untuk merasuah pegawai-pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan 1MDB bagi Goldman Sachs.

Goldman sebelum ini menolak Low sebagai pelanggan, selepas pegawai pematuhan menimbulkan kebimbangan mengenai sumber wangnya.

Tetapi dalam kes ini, pegawai-pegawai bank, bersama dengan yang lain di Goldman, telah menyembunyikan penglibatan Low, kata pendakwa.

Pada akhirnya, pegawai-pegawai telah mengeluarkan tiga tawaran bon pada 2012 dan 2013 untuk meraih kira-kira AS$ 6.5 bilion untuk dana itu dan Goldman memperoleh sebanyak AS$600 juta.

Wang itu sepatutnya menyokong projek pembangunan, tetapi pendakwa mengatakan ketiga-tiga lelaki itu “bersekongkol untuk mengambil” lebih daripada AS$2.7 bilion melalui sistem kewangan Amerika Syarikat.

Mereka didakwa menggunakan wang itu untuk membayar rasuah dan bagi faedah peribadi serta keluarga.

Leissner, yang berkhidmat sebagai Pengerusi dan Pengarah Urusan Goldman di Asia Tenggara mengaku bersalah kerana terlibat dalam konspirasi untuk melakukan penggubahan wang haram dan undang-undang anti-rasuah.

Leissner, yang melepaskan jawatan di Goldman pada Februari 2016, telah dikenakan penalti sebanyak AS$ 43.7 juta.

Ng pula Pengarah Urusan di Goldman sehingga Mei 2014. Dia ditahan di Malaysia semalam. BBC masih belum dapat menghubungi peguam yang mewakilinya. – MalaysiaGazette