Mahathir
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan ahli perniagaan Low Taek Jho ‘bersembunyi seperti tikus’ bagi mengelak tuduhan pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Malaysia.

Menurut beliau, Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low pernah menggunakan gaya hidup mewah di seluruh dunia tetapi kini cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa.

“Sebelum itu, dia adalah seorang lelaki yang terbang ke seluruh dunia mengunakan pesawat jet dan berlayar di dalam kapal layar mewah (Equanimity) serta menjalani kehidupan yang hebat.

“Sekarang dia pula bersembunyi seperti tikus,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas mengikuti pembentangan Bajet 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai memberikan reaksi terhadap laporan bahawa Jabatan Kehakiman AS (DoJ) telah menahan dua pegawai bank Goldman Sachs berkait skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ditanya sama ada Malaysia akan menemui Jho Low terlebih dahulu, Dr Mahathir berkata, ia tidak penting kerana mana-mana pihak berkuasa yang berjaya menangkapnya akan membenarkan akses yang sama antara satu sama lain.

“Kami ingin mendapatkan Jho Low dan membicarakannya, tetapi kini sudah tentu tidak dapat dilihat. Kami tidak tahu di mana dia berada.

“Kami juga ingin mendapatkannya kerana kami mempunyai beberapa tuduhan terhadapnya tetapi AS juga mahukannya,” ujarnya.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak membaca laporan dakwaan Jho Low oleh DoJ dan hanya “mendengarnya” semasa pembentangan Bajet 2019 oleh Guan Eng.

Jabatan Kehakiman AS telah mendakwa bekas pegawai bank Goldman Sachs, Ng Chong Hwa di Malaysia semalam.

Manakala bekas pegawai bank Goldman, Tim Leissner juga mengaku bersalah atas tuduhan dan bersetuju untuk membayar AS$43.7 juta serta mengembalikan semula keuntungan yang diperolehi.

Lelaki itu didakwa bersekongkol untuk mengubah wang haram membabitkan berbilion dolar dari 1MDB. – MalaysiaGazette