Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mewujudkan Pejabat Pengurusan Hutang yang bertanggungjawab untuk menyemak dan menguruskan hutang dan liabiliti kerajaan.

Pejabat Pengurusan Hutang akan memantau penerbitan hutang oleh Kerajaan Persekutuan, badan berkanun dan syarikat tujuan khas (SPV) secara holistik.

Kementerian Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan berhasrat untuk mengelakkan berlakunya bayaran khidmat hutang yang lebih tinggi akibat kelemahan koordinasi dalam penerbitan hutang.

“Pejabat ini juga akan mengoptimakan sumber Kerajaan secara keseluruhan, memusatkan pengurusan dana supaya badan berkanun dengan dana lebihan dapat memenuhi keperluan pembiayaan agensi lain pada kos yang lebih kompetitif,” katanya dalam pemebentangan belanjawan 2019.

Dalam usaha merasionalisasi hutang, kerajaan bukan sahaja perlu menstruktur semula hutang sedia ada, tetapi juga
menyemak komitmen hutang masa hadapan termasuk pajakan operasi berjumlah puluhan bilion ringgit.

Dengan itu, kerajaan membatalkan projek Multi-Product Pipeline dan Trans-Sabah Pipeline berjumlah RM15 bilion. Selain itu, kerja pembinaan ECRL berjumlah RM81 bilion telah digantung dan kini kosnya sedang dirunding semula.

Buat masa ini, kerajaan juga telah membatalkan projek MRT3 yang bernilai RM60 bilion sehingga projek MRT2 disiapkan.

“Kerajaan juga telah menangguhkan pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur–Singapura yang dijangka melibatkan kos sekurang-kurangnya RM110 bilion.

“Kerajaan telah memutuskan untuk meneruskan beberapa projek infrastruktur yang mempunyai kesan pengganda ekonomi yang tinggi setelah menjalankan rundingan semula dengan kontraktor berkaitan.

“Untuk projek LRT3 sepanjang 37 kilometer yang dilaksanakan oleh Prasarana Malaysia Berhad, kerajaan telah berjaya mengurangkan kos keseluruhan projek daripada RM31.6 bilion kepada hanya RM16.6 bilion.

“Jumlah ini mewakili penjimatan sebanyak 47 peratus atau RM15 bilion. Bagi projek MRT2 yang diuruskan oleh MRT Corp pula, kerajaan telah berjaya menurunkan kos kontrak pembinaan sebanyak RM8.8 bilion daripada RM39.3 bilion kepada RM30.5 bilion,” katanya.

Projek Landasan Berkembar Lembah Klang 2 bernilai RM5.2 bilion yang telah dianugerahkan melalui kaedah rundingan terus sebelum pilihanraya umum yang lalu telah ditamatkan dan akan ditender semula melalui tender terbuka.

Pelbagai agensi kerajaan kini sedang dalam proses menimbang semula kontrak rundingan terus atau tender terhad bernilai sejumlah RM19 bilion yang telah ditandatangani oleh kerajaan lalu.

Semua kementerian diberi kuasa untuk memutuskan sama ada pelaksanaan kontrak boleh diteruskan.

Projek yang telah ditandatangani menerusi surat setuju terima (SST) boleh diteruskan dengan syarat memperolehi penjimatan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada kos pembinaan.

Kerajaan menjangka dapat menjimatkan sebanyak RM1.9 bilion. – MalaysiaGazette