Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) gagal menyatakan dengan jelas kedudukan kewangan negara yang sebenar, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jelas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, Menteri Kewangan tidak ada menyatakan defisit, pendapatan dan perbelanjaan kerajaan.

“Belanjawan 2019 ini kita tak tahu berapa sebenarnya jumlah pendapatan dan perbelanjaan cuma kita tahu jumlah perbelanjaan belanjawan ini? Berapa kita defisit sebenarnya?

“Kita tidak ada satu angka yang jelas tentang jumlah defisit belanjawan negara. Biasanya kita nak tahu berapa jumlah perbelanjaan dan pendapatan baru kita dapat tengok berapa sebenarnya,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen selepas Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2019 hari ini.

Pas tambah Tuan Ibrahim, akan mengambil bahagian penuh dalam perbahasan Belanjawan 2019 dalam Dewan Rakyat bagi menyuarakan ketidakpuasan hati termasuk kegagalan kerajaan itu memberikan peruntukan kepada pembangunan di semua negeri Pantai Timur.

“Insya Allah kita akan ambil kesempatan sepenuhnya dalam perbahasan di Parlimen,” ujarnya. – MalaysiaGazette