Pemandu teksi menunggu penumpang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Bajet 2019 di KL Sentral, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memutuskan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta dengan kapasiti enjin kurang daripada 1,500cc atau 40 liter bagi motosikal berkuasa enjin di bawah 125cc.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, mekanisme baharu ini dijangka bermula pada suku kedua 2019.

Untuk ini, RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka dapat memanfaatkan seramai 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.

Bagi meningkatkan kecekapan penggunaan sumber di samping membendung ketirisan berikutan perbezaan harga minyak dan penyeludupan rentas sempadan, kerajaan akan mengapungkan semula harga petrol RON95 di pasaran berdasarkan Automatic Price Mechanism (APM).

Bagi menstabilkan bekalan dan menyeragamkan harga barangan keperluan asas, terutama di Sabah dan Sarawak, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM150 juta.

Antara barangan yang terlibat adalah tepung gandum, gula bertapis dan minyak masak dalam paket 1kg, serta beras tempatan 15 peratus hancur pek 10kg, Petrol RON95, diesel dan LPG – MalaysiaGazette