Gambar hiasan

MAHARASHTRA – Seekor harimau betina yang didakwa telah membaham 13 orang mangsa telah ditembak mati selepas oeprasi pemburuan dijalankan besar-besaran.

Harimau berusia enam tahun itu dikesan berada dalam hutan di negeri Maharashtra selama dua tahun.

Renjer-renjer melakukan pelbagai usaha untuk menangkap haiwan ganas itu termasuk mempertaruhkan haiwan lain dan menyembur minyak wangi dalam usaha untuk menarik perhatian haiwan tersebut.

Pemburuan harimau itu mendapat keizinan daripada Mahkamah Agung jika renjer terpaksa berbuat demikian tetapi para aktivis menjalankan kempen menyelamatkan harimau berkenaan.

Pasukan renjer telah ditempatkan dalam sebuah kenderaan di kawasan berhampiran Kampung Borati yang menjadi laluan harimau berkenaan.

Sebaik sahaja melihat harimau itu di depan mata, renjer melepaskan ubat penenang kepada haiwan itu.

Namun, ketika ubat tersebut terkena pada badannya, harimau itu datang menyerang kenderaan terbabit.

Harimau itu ditembak dengan sebutir peluru pada jarakantara lapan hingga 10 meter.

Pada Ogos lalu, harimau betina dengan dua ekor anaknya membunuh tiga penduduk kampung di Pandharkawada di daerah Yavatmal.

Ia menyebabkan 5,000 orang penduduk tinggal dalam ketakutan. – MalaysiaGazette