KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) akan memanfaatkan Belanjawan 2019 untuk merangka program pembangunan usahawan yang berfokus dan inklusif yang akan dilaksanakan pada tahun 2019.

Dalam kenyataan di sini, MED berkata, inisiatif kerajaan yang memperuntukan sumber kewangan melalui pelbagai mekanisme bagi membangunkan ekosistem keusahawanan di negara ini akan memberi impak ke atas pembangunan golongan itu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“MED mengalu-alukan inisiatif memberi pengecualian cukai perkhidmatan kepada perkhidmatan spesifik yang ditawarkan oleh perniagaan yang berdaftar kepada perniagaan berdaftar yang lain, sistem kredit bagi pengilang kecil yang
mengimport barangan mentah dan perantara (intermediary) dalam sektor pembuatan.

“Kita berharap untuk melihat lebih banyak peluang bagi usahawan dan PKS dalam Sektor Perkhidmatan, hasil daripada inisiatif kerajaan untuk mengenakan cukai ke atas perkhidmatan yang diimport secara atas talian,” katanya.

Kementerian itu turut menyambut baik tindakan menawarkan skim pembiayaan dengan jaminan kerajaan dan kadar faedah bersubsidi untuk PKS.

Inisiatif ini akan meningkatkan pelaburan dalam perniagaan yang seterusnya akan merangsang pertumbuhan ekonomi PKS.

Para pekebun kecil getah dan kelapa sawit, yang kebanyakannya terdiri daripada usahawan mikro, juga akan mendapat manfaat daripada bantuan tersebut.

Tambahnya, memperuntukan RM100 juta kepada TEKUN Nasional membuktikan komitmen kerajaan untuk terus membangunkan usahawan Bumiputera, terutamanya dalam sektor perusahaan mikro.

Di samping itu, peruntukan RM500 juta kepada SME Bank akan memberi impak positif kepada golongan usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Mengenai inisiatif untuk sektor ekonomi digital, MED menjangkakan lebih banyak peluang akan diwujudkan untuk usahawan berasaskan teknologi (technopreneurs) menerusi peruntukan modal teroka berjumlah RM2 bilion.

Ini akan membantu merancakkan pertumbuhan bidang baharu dalam sektor ekonomi digital, dan memacu adaptasi teknologi dan inovasi bagi PKS tempatan.

Berkaitan Industri 4.0 pula, MED menerima baik cadangan memperkenalkan insentif cukai baharu bagi menggalakkan usahawan menggunapakai teknologi digital.

Dengan adanya insentif ini, PKS tempatan terutamanya dalam sektor pembuatan juga dapat berkembang maju. – MalaysiaGazette