SEPANG – Peruntukan RM1 billion kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di dalam Belanjawan 2019 tidak hanya menyasarkan bidang sukan sahaja, tetapi turut merangkumi agihan kepada pembangunan belia.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata selain daripada RM100 juta yang diperuntukkan untuk persiapan atlet ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan RM10 juta khusus kepada pembangunan E-Sukan, lebihan daripada jumlah RM1 billion itu akan diagihkan sebaik mungkin kepada pembangunan belia dalam negara.

“Ya jumlah diterima adalah RM1 billion dan ia bukan untuk sukan sahaja tetapi untuk semua. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini Biro Tatanegara (BTN) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dimasukkan di bawah KBS, sebab itu peruntukkan ia bertambah juga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Yamaha di sini, hari ini.

“KBS juga ada beberapa program baharu yang kita nak perkenalkan sebagai contoh ‘Malaysian Future Leader School’ di mana kita mahu melatih bakat kepimpinan anak muda terbaik yang bakal menjadi Perdana Menteri, Menteri, Pengerusi atau pun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat terkemuka,” tambahnya.

Belanjawan 2019 untuk KBS yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guang Eng semalam menyaksikan peningkatan 25 peratus peruntukan kepada agensi pelaksana seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri.- BERNAMA