Menjadikan soal hubungan seks antara pasangan untuk mengenal pasti "tanda gay" pada suami adalah tidak saintifik. foto hiasan sumber Internet

KUALA LUMPUR – Menjadikan soal hubungan seks antara pasangan untuk mengenal pasti “tanda gay” pada suami adalah tidak saintifik.

China Press melaporkan, penentuan sama ada seseorang ialah homoseksual atau biseksual harus dilakukan melalui aspek psikologi, pemikiran, tingkah laku, nafsu seks serta keberterusan faktor-faktor tersebut.

Naib Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Dr. Ng Chong Guan berkata, penggunaan faktor persetubuhan semata-mata untuk mengenal pasti orientasi seksual seseorang adalah mengelirukan dan tidak saintifik.

Beliau berkata, syak wasangka terhadap pasangan termasuk mengintai kandungan telefon pintar suami untuk menggali mesej-mesej gay juga dikhuatiri akan menjejaskan keharmonian rumah tangga.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengarah Keluarga, Sosial dan Pembangunan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Dr. Mohd. Izwan Md. Yusof yang dilaporkan berkata bahawa suami yang tidak bersetubuh dengan isteri selama empat bulan hingga setahun mungkin ialah golongan homoseksual.

Mohd. Izwan juga dilaporkan meminta para isteri memeriksa mesej-mesej dalam telefon bimbit suami jika pasangan mereka berahsia dengan mewujudkan kata laluan pada telefon atau sering membawa telefon ke tandas.

Mengulas lanjut, Chong Guan berkata, penentuan sama ada seseorang ialah homoseksual adalah bermula dengan penilaian psikologi dan tingkah lakunya.

“Ia disusuli dengan memahami latar belakang keluarga termasuk sama ada individu berkenaan pernah mengalami penderaan termasuk dari segi seksual.

“Jika individu itu masih mempunyai nafsu berterusan terhadap jantina sejenis walaupun selepas menerima rawatan, maka orientasi seksualnya adalah jelas,” katanya.

Tambahnya, sesetengah golongan homoseksual tidak dapat mengenali orientasi seksualnya ada zaman kanak-kanak kerana memandang semua orang sebagai teman sepermainan.

Katanya, hanya selepas membesar dan mempunyai nafsu seks, barulah mereka menyedari jantina mana yang menghasilkan tarikan.

Ditanya tentang jumlah lesbian berbanding gay yang ada, pakar Universiti Malaya itu berkata, selari dengan fikiran yang lebih terbuka pada zaman ini, maka jumlah lesbian adalah sama bilangannya dengan jumlah gay. – MalaysiaGazette