KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mahu memecat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sekiranya beliau menjadi Presiden UMNO.

Menerusi Twitter, Beliau mendakwa, langkah itu akan diambil ekoran Lokman disifatkan mempunyai tahap kepintaran yang rendah.

You better pray I Don’t become President of UMNO. First Thing I’ll do is sack you for having the IQ of a carrot” (Lebih baik anda berdoa saya tidak menjadi Presiden UMNO. Perkara pertama yang saya akan lakukan adalah memecat anda kerana mempunyai IQ yang rendah),” kata bekas menteri belia dan sukan itu.

Dalam tulisannya di sebuah portal berita hari ini, Lokman menyifatkan bekas ketua pemuda UMNO itu ‘meroyan seperti orang datang bulan’ ekoran tindakannya yang menemplak bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak semalam berhubung kekalahan (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu disebabkan fitnah dan janji palsu Pakatan Harapan (PH).

Khairy sebaliknya menyatakan, BN tewas pada PRU lalu adalah disebabkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam tulisnnya juga Lokman berkata, beliau tidak pasti mengenai masalah Khairy yang meroyan seperti itu.

“Tapi apa yang pasti, jika beliau meneruskan sikap menuding jari secara berterusan, saya rasa beliau boleh berhenti bermimpi untuk menjadi Presiden UMNO.

“Sepatutnya, selaku bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy kena menilai sama ada aktiviti menjadi model sambilan di Majalah Maskulin, hobi berselfie dan kepakaran memilih warna stokin yang betul, telah berjaya menarik minat orang muda untuk menyokong BN,” ujarnya dipetik daripada laporan tersebut. – MalaysiaGazette