Datuk Rashid Din
Rashid Din

KUALA LUMPUR – Sebanyak sembilan cabang PKR yang proses pengundiannya ditangguhkan akibat masalah teknikal dan gangguan telekomunikasi pada 20 Oktober lalu, akan diadakan pemilihan semula 11 November ini.

Cabang itu melibatkan enam di Melaka dan masing-masing satu di Jelebu, Negeri Sembilan; Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah; dan Kuala Selangor, Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din berkata, tarikh itu telah ditetapkan bagi pemilihan semula cabang di Melaka, Jelebu dan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala cabang Kuala Selangor akan dimaklumkan kemudian.

Katanya, berdasarkan laporan dari lokasi, pemilihan cabang Kuala Selangor terpaksa ditangguhkan disebabkan gangguan telekomunikasi.

“Pada hari pengundian, kita dapati sistem komputer tidak berfungsi dan tidak ada langsung isyarat telekomunikasi.

“Semua calon yang bertanding pada hari itu telah sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan pemilihan itu pada tarikh lain,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Menurut Rashid, proses pengundian di cabang Jelebu diadakan semula setelah berlaku kehilangan data pengundi pada hari pemilihan 20 Oktober lalu.

Kata beliau, pengundian semula akan diadakan 11 November ini dari jam 10 pagi hingga 2 petang dengan senarai pengundi terlibat akan dibekalkan oleh JPP pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak kepada cabang berkenaan.

“Pemilihan di enam cabang di Melaka juga tertangguh pada hari itu akibat kehilangan data pengundi di cabang Alor gajah, Masjid Tanah, Bukit Katil, Tangga Batu, Jasin dan Kota Melaka.

“Justeru, dua pemilihan semula diadakan mengikut pecahan kumpulan cabang pada 11 November ini, iaitu kumpulan pertama cabang Alor gajah dan Masjid Tanah.

“Manakala kumpulan kedua pula melibatkan cabang Bukit Katil, Tangga Batu, Jasin dan Kota Melaka,” katanya.

Ujar beliau, pemilihan khas itu hanya untuk pemilih yang telah datang mengundi pada 20 Oktober lalu.

Katanya, bagi pemilihan semula cabang Wilayah Labuan hanya melibatkan Jawatankuasa Wanita Cabang sahaja dan pengundian akan diadakan di Dewan Komuniti Kampung Sungai Bedaun mulai jam 4 petag hingga 8 malam.

Sementara itu, seorang ahli PKR, Mahat Abdul Ghani membantah hasrat JPP untuk mengadakan pemilihan semula bagi kes hilang data undi di cabang Bukit Katil.

Ini kerana, jelas beliau, keputusan undian pada hari itu telahpun ditandatangani oleh semua wakil calon Ketua cabang dan tidak ada bantah dibuat.

Kata beliau, undi hilang atau undi anggota kosong telah berlaku di semua cabang, bukan hanya di Bukit Katil sahaja dan pihak JPP juga dikatakan gagal memaklumkan keadaan sebenar masalah itu.

“Untuk memanggil semula, bukan perkara yang mudah dan menyebabkan kerugian wang ringgit serta masa, tambahan pula peratusan mengundi untuk ahli yang dipanggil semula pastinya akan berkurangan,” katanya. – MalaysiaGazette