Gambar hiasan
KUANTAN – Tiga remaja maut, manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam lima meter di Jalan Semambu di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, semua mangsa yang maut di tempat kejadian merupakan penumpang belakang kereta Perodua Myvi tersebut.

Mereka yang maut ialah Akira Alinnatasya Mohd Jaafar, 16, Nur Alya Ariana Azman, 16, dan Mohd Rizal Zainuddin, 20, yang kesemuanya berasal dari Kemaman, Terengganu.

“Kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu kereta gagal mengawal kenderaan yang dipandu laju semasa melalui jalan yang lurus dalam keadaan hujan.

“Kemalangan menyebabkan kereta itu yang dipercayai dalam perjalanan dari Kuantan ke Kemaman remuk secara keseluruhan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata, pemandu kereta Muhammad Firdaus Mohd Noor, 22, patah tangan kanan dan mengalami kecederaan dalaman dan kini menerima rawatan di zon kuning Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Beliau menambah, seorang lagi lelaki yang cedera yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan sedang dirawat di zon merah hospital sama, namun identitinya masih belum dikenal pasti.

Kamarulzaman berkata, jenazah ketiga-tiga mangsa dihantar ke HTAA untuk bedah siasat hari ini, sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk dikebumikan di Kemaman.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata pihaknya menggunakan alat pemotong besi untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan itu. – MalaysiaGazette