Peti suara Zamani koyak pada konsert kelima Gegar Vaganza musim kelima (GV5) minggu lalu.

KUALA LUMPUR – Spekulasi Zamani akan menarik diri daripada program realiti Gegar Vaganza musim kelima (GV5) pada konsert keenam malam ini mungkin tidak berlaku.

Ini kerana penyanyi berusia 47 tahun muncul pada sesi raptai akhir malam tadi.

Penonton yang hadir memberikatahu, kesihatan bekas vokalis kumpulan Slam itu menunjukkan perkembangan positif.

Malah kemerduan vokalnya kembali normal berbanding minggu lalu apabila dia muncul di atas pentas dan tidak mampu mengeluarkan vokal gara-gara peti suaranya koyak.

Awal minggu lalu, bekas pengurus penyanyi itu, Johan Aziz memuatnaik status di Facebooknya mengatakan bahawa Zamani ingin menarik diri namun tidak diendahkan oleh pihak produksi.

Namun kenyataan itu dinafikan oleh pengurus yang menjaganya sekarang, Aalan Ahmad.

Walaupun diumumkan sebagai peserta yang tersingkir, Zamani diselamatkan oleh Datuk Aliff Syukri selaku penaja yang menggunakan kuasa imuniti untuk mengekalkan penyanyi tersebut. – MalaysiaGazette