Mahathir
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018.

TOKYO – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau ingin melihat universiti Jepun mewujudkan kampus cawangan di Malaysia bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia bukan sahaja didedahkan kepada sistem pendidikan negara itu, tetapi turut mempelajari budayanya.

Beliau berkata, Malaysia menghantar ramai pelajarnya ke Jepun dan mereka memberi banyak sumbangan kepada Malaysia, bagaimanapun faktor kos kini mengakibatkan agak sukar untuk menghantar lebih ramai pelajar.

“Kami berpendapat cara terbaik adalah untuk mewujudkan universiti (Jepun) di Malaysia. Kami telah berusaha untuk mendapatkan penubuhan kampus cawangan universiti Jepun di Malaysia. Malangnya undang-undang tidak membenarkannya (buat masa ini).

“Seperti yang anda maklum, kami kini mempunyai kampus cawangan universiti Australia dan Amerika di Malaysia, tetapi tiada universiti Jepun,” katanya ketika berucap pada majlis penganugerahan ijazah kehormat daripada University of Tsukuba di kampus Tokyo universiti itu di sini pada Isnin.

Ijazah kehormat itu disampaikan kepada Dr Mahathir oleh presiden universiti berkenaan, Prof Kyosuke Nagata.

Perdana menteri sedang melakukan lawatan kerja tiga hari ke Jepun, yang bermula Isnin.

Dr Mahathir berkata penubuhan universiti Jepun di Malaysia penting supaya rakyat Malaysia dapat mempelajari bukan sahaja ilmu pengetahuan, tetapi juga ciri-ciri atau sistem nilai dan etika kerja.

“Di bawah Dasar Pandang ke Timur, kami menghantar ramai pelajar ke sini, dan malah bekerja di sini dalam usaha untuk mempelajari tentang etika kerja dan sistem nilai Jepun. Tanpa sistem nilai, kita tidak akan maju walaupun berpendidikan yang baik. Kami perkenalkan sistem pendidikan Jepun di Universiti Teknologi Malaysia.

“Untuk datang ke Jepun, memanglah, sebelum ini agak murah tetapi nilai Yen kini meningkat tiga kali ganda, menyebabkan kos untuk menghantar pelajar ke negara ini menjadi sangat mahal,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau berharap University of Tsukuba akan mempertimbangkan untuk datang ke Malaysia dan membuka kampus cawangannya.

“Ini akan membolehkan lebih ramai pelajar Malaysia belajar, sebab kos akan menjadi lebih rendah. Malaysia boleh menjadi pusat bagi pelajar lain dari rantau Asia untuk datang belajar di sebuah universiti Jepun tanpa perlu pergi ke negara itu.

“Kalangan pelajar ini adalah miskin. Kos sara hidup di Jepun pula tinggi. Saya harap universiti ini kesudahannya akan membuka kampus cawangan di Malaysia, mengajar dalam bahasa Jepun, mendidik rakyat Malaysia tentang budaya Jepun,” katanya. – Bernama