Anthony Loke
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menunjukkan Mykad yang akan digunakan sebagai Pas Perjalanan Tanpa Had pada sidang media di Pejabat Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 05 NOVEMBER 2018.

PUTRAJAYA- Pengguna pas perjalanan tanpa had 30 hari untuk perkhidmatan RapidRail dan RapidBus yang berharga RM100 mampu menjimatkan sekurang-kurangnya RM180 berbanding jumlah yang perlu dibayar ketika ini.

Kerajaan semasa pembentangan Belanjawan 2019 Jumaat lalu mengumumkan pengenalan pas perjalanan tanpa had selama 30 hari dengan harga RM100 untuk pengguna semua pengangkutan awam rel di Lembah Kelang (kecuali KTM komuter) dan bas RapidKL manakala pas perjalanan untuk bas sahaja pula dijual pada harga RM50.

Pas perjalanan tanpa had itu akan dilancarkan pada 1 Disember ini dan boleh mula digunakan pada 1 Januari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan menperuntukkan kira-kira RM240 juta setahun untuk memperkenalkan pas perjalanan tersebut.

Kementerian katanya mensasarkan pemilikan pas perjalanan tersebut sebanyak 200,000 orang bagi mengurangkan beban subsidi.

“Bagi setiap 10,000 pas RapidRail dan RapidBus, kerajaan perlu menanggung RM1 juta manakala untuk pas perjalanan RapidBus sahaja yang bernilai RM50 sebulan, kerajaan perlu menampung subsidi RM500,000.

“Sekiranya pelanggan pas perjalanan RapidRail dan RapidBus melebihi 120,000 ,kerajaan dapat mengurangkan beban subsidi RM1juta bagi setiap pertambahan 10,000 pengguna disebabkan oleh skala ekonomi yang makin besar.

“Kami memang mahu menggelakkan warga Lembah Kelang menggunakan pengangkutan awam, jika boleh biar semua orang tinggalkan kereta di rumah dan untuk golongan muda pula, mereka tidak perlu beli kereta,” katanya semasa sidang media di kemeteriannya di sini hari ini.

Menurut Anthony, pengguna hanya dapat melanggan pas tersebut melalui Mykad atau MyTentera menerusi fungsi Touch ‘nGo pada kad pengenalan masing-masing.

Langganan boleh dibuat didapati di semua stesen LRT dan MRT serta empat hab bas iaitu Shah Alam, Greenwood, Gombak, Sri Nilam, Ampang dan Terminal Kajang.

Untuk menambah nilai bagi tempoh 30 hari seterusnya, pengguna boleh berbuat demikian di mana-mana lokasi tambah nilai Touch ‘nGo sedia ada, stesen minyak dan mesin ATM.

Pemegang MyKid iaitu kanak-kanak berusia di antara tujuh hingga 12 tahun juga layak mendapatkan pas perjalanan tersebut.

Pelaksanaan pas perjalanan tanpa had itu dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 45 peratus pengguna perkhidmatan RapidRail dan hampir 100 peratus pengguna bas RapidKL termasuk bas perantara MRT.-MalaysiaGazette