Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berikutan mata wang negara maju yang kukuh itu mengekang permintaan terhadap unit tempatan ketika aliran rendah harga minyak mentah, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada 4.1610/1660 berbanding dolar AS, daripada 4.1600/1650 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu.

Peniaga berkata, minat terhadap dolar AS meningkat selepas Washington menafikan laporan bahawa ia meminta pegawai kerajaannya menyediakan pelan perdagangan ke atas China.

Bagaimanapun, pengumuman Belanjawan 2019 pada Jumaat minggu lalu dapat mengurangkan sentimen dalam pasaran tempatan kerana pelabur berpendapat belanjawan pertama peringkat persekutuan oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan itu telah dirangka secara teliti untuk mengimbangi antara disiplin fiskal dan pertumbuhan.

Bagi minyak mentah, harga minyak mentah Brent turun kepada AS$72.38 setong berbanding AS$72.60 pada Jumaat lalu.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0297/0336 daripada 3.0321/0362 pada Jumaat minggu lalu dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6751/6805 daripada 3.6889/6940.

Mata wang domestik meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4076/4162 daripada 5.4196/4266 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7406/7467 daripada 4.7582/7643 minggu lalu. – MalaysiaGazette