Wan Hamidi Hamid

KUALA LUMPUR – Wan Hamidi Hamid mendakwa sasaran pembohongan, kutukan dan serangan peribadi menyebabkan beliau tidak dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bernama.

Beliau mengesahkan tidak dilantik bagi mengemudi agensi berita kerajaan itu meskipun telah ditawar, dipujuk dan diyakinkan untuk menerima jawatan tersebut.

“Saya minta maaf tetapi saya tidak akan menjawab sebarang soalan. Jadi jangan buat masa anda cuba menghantar mesej atau menghubungi saya mengenainya. Sekarang bukan masanya, maaf.

“Jika anda mahu tahu, anda sepatutnya bertanya kepada Lembaga Pengarah Bernama atau Menteri Kabinet atau mana-mana individu atau kumpulan perkauman termasuk beberapa media dan portal-portal berita yang benci DAP. Mungkin mereka tahu lebih banyak,” katanya melalui Facebook.

Nama Wan Hamidi disebut-sebut sebelum ini untuk menerajui Bernama bagi menggantikan Zulkefli Salleh yang bersara pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, Tan Sri Rais Yatim, bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mahu Kerajaan Pakatan Harapan menimbangkan semula cadangan pelantikan bekas ketua pengarang media rasmi DAP itu bagi mengekalkan konteks neutral dalam agensi berita itu.

Rais yang juga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata, kerajaan perlu menghindarkan trend melantik orang cenderung berpolitik, agar warna, nadi dan pemikiran agensi itu tidak dipolitikkan.

Jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama itu kini dipangku oleh Datuk Zakaria Abd Wahab.

Wan Hamidi berkata, beliau percaya dengan kebebasan media dan bersuara walaupun dalam konteks Malaysia, lebih mudah dikatakan daripada melakukannya.

“Tetapi kita tidak boleh berputus asa. Kita mesti terus bergerak,” tambahnya yang memberitahu memiliki 30 tahun dalam kewartawanan dan komunikasi.

Wan Hamidi pernah bekerja dengan Berita Harian, The Star, The Sun, Straits Times Singapura, New Straits Times, dan The Malaysian Insider dan Roket milik DAP. – MalaysiaGazette