Aeon Co (M) Berhad majikan yang telah mula membayar gaji minimum pada kadar RM1,500..

KUALA LUMPUR – Aeon Group yang terkenal dengan rangkaian runcit dan perkhidmatan kewangan, kini menyasarkan untuk melaksanakan transaksi tanpa kertas menerusi e-dompet kepada pelanggan menjelang separuh kedua 2019.

Pengarah Urusan Aeon Credit Service (M) Bhd, Kenji Fujita berkata, ini membolehkan transaksi menggunakan e-dompet AEON dilihat pada masa sebenar menerusi aplikasi itu sebaik transaksi itu selesai.

“Kaedah itu membolehkan perkhidmatan tanpa kertas yang dapat mengurangkan kos,” katanya dalam satu temu bual, baru-baru ini.

Aplikasi e-dompet itu dibangunkan pada kos RM10 juta dan kumpulan itu berharap proses peralihan keahlian semua pemegang kad Aeon dapat dilaksanakan menjelang 2021 yang juga selaras dengan inisiatif tanpa tunai syarikat itu.

“Kad itu yang akan disahkan oleh Bank Negara Malaysia akan menggabungkan semua enam juta kad keahlian Aeon Group di bawah satu bumbung.

“Kelebihan kad ini adalah ia bukan setakat boleh digunakan di Aeon, tetapi juga serata dunia di bawah khidmat kad Visa,” katanya.

Peralihan daripada kad lama kepada baharu adalah percuma dan e-dompet itu dilengkapi had RM10,000 dan pengguna boleh menambah nilai kad berkenaan di mana-mana mesin deposit tunai dan outlet Aeon.

Fujita berkata kad itu juga ditawarkan untuk warga Singapura yang kerap mengunjungi Malaysia bagi tujuan beli-belah, khususnya di Johor.

“Transaksi kad dalam mata wang asing selain ringgit akan didebit daripada akaun ahli selepas ditukar kepada mata wang tempatan pada kadar fi satu peratus dan kadar pertukaran yang ditetapkan oleh pihak Visa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Aeon Asia Sdn Bhd Washizawa Shinobu berkata, syarikat itu tidak berdepan sebarang masalah susulan cadangan untuk meningkatkan paras gaji minimum pada tahun depan.

Bagaimanapun, tegasnya, produktiviti pekerja juga seharusnya setimpal dengan kenaikan gaji berkenaan.

“Kami juga dapat menjimatkan kos menerusi usaha pendigitalan bagi membantu mengurangkan kos operasi. Pada masa sama, pekerja juga perlu meningkatkan kemahiran masing-masing,” katanya.

Aeon Big pada masa ini mempunyai 21 outlet di Malaysia dan satu lagi cawangan dijangka dibuka pada 2019. – MalaysiaGazette