WASHINGTON – Amerika Syarikat mengenakan sekatan semula ke atas industri minyak dan perkapalan Iran dan dalam masa yang sama memberi kebenaran sementara kepada pelanggan-pelanggan utama seperti China dan India untuk meneruskan pembelian minyak mentah daripada Republik Islam.

Dengan mengabaikan perjanjian nuklear Iran yang dimeterai pada 2015, Presiden Donald Trump cuba melemahkan Iran yang sangat bergantung kepada hasil minyak dengan memaksa Tehran untuk bukan sahaja menamatkan impian mereka dalam program peluru berpandu dan nuklear malah menghentikan sokongan terhadap proksi-proksi militant di Syria, Yaman, Lubnan dan beberapa negara lain di Asia Barat.

Terdahulu, Presiden Iran, Hassan Rouhani berkata, negara tersebut akan terus menjual minyaknya meskipun Washington mengisytiharkan “perang ekonomi”.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif berkata, pembulian yang dilakukan oleh Amerika Syarikat itu hanya memakan diri sendiri dan membuatkan Washington semakin terasing. – Agensi