Che Abdullah Mat Nawi
Che Abdullah Mat Nawi

KUALA LUMPUR – Usaha Kerajaan Persekutuan hendak meningkatkan syiar Islam dengan peningkatan peruntukan kepada RM1.2 bilion dalam Belanjawan 2019 baru-baru ini boleh dipersoalkan banyak pihak.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, jika kerajaan serius, hasrat itu sepatutnya turut direalisasikan dengan inisiatif menaik taraf institusi perundangan syariah ke peringkat lebih tinggi.

Menurut beliau, Mahkamah Syariah yang diamalkan di negara ini berada lebih rendah berbanding Mahkamah Sesyen dan Majistret, walhal ia adalah institusi tertinggi dalam menghakimi urusan umat Islam seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Jadual Kesembilan, Senarai II – Senarai Negeri.

“Dengan itu, kita menggesa kerajaan PH mengemukakan semula pindaan Akta 355 (RUU355) sebagai langkah meningkatkan syiar Islam sebagaimana yang dibentang Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2019 Jumaat lalu.

“Sewajarnya kerajaan Persekutuan melakukan penelitian bagi menyelesaikan konflik pertembungan Mahkamah Syariah dan Sivil khususnya melibatkan Akta 164.

“Ini kerana polemik panjang bagai tiada berkesudahan meskipun dengan pindaan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan pada 1988,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Che Abdullah dari Pas Kelantan berkata, penyelesaian terhadap konflik yang timbul tidak seharusnya terhenti dengan pindaan tersebut, bahkan sudah sampai masanya proses harmonisasi kedua-dua institusi mahkamah itu dibincang dan direalisasikan secara serius.

Jelas beliau, penyelesaian “federalizing the shariah court” yang turut dikemukakan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid dalam pelbagai penulisan beliau boleh dijadikan sandaran utama dalam proses harmonisasi ini, selain menilai semula sama ada ia memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan serta Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Sewajarnya hasrat meningkatkan syiar Islam tidak hanya retorik semata-mata. Saya mengharapkan agar aspek perundangan syariah turut diangkat dan ditambahbaik dalam negara ini.

“Sesungguhnya, hal ini adalah syiar yang utama bagi umat Islam,” ujarnya. – MalaysiaGazette