Jho low
Low Taek Jho

KUALA LUMPUR – Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) merancang untuk mendapatkan kerjasama kerajaan Thailand bagi mengeluarkan waran berhubung barang kemas yang dikaitkan dengan 1MDB yang dipercayai diberikan kepada ibu Low Taek Jho, Evelyn Goh Gaik Ewe.

Barang kemas yang dimaksudkan terdiri daripada sepasang anting berlian dengan cincin berlian yang sepadan, lapor Malaysiakini.

Dalam satu kenyataan kepada Mahkamah California bertarikh 2 Nov, DOJ berkata, kerajaan AS masih mengenalpasti lokasi sebenar barang kemas itu, namun menganggap ia berada di Thailand di mana pemiliknya yang bernama Goh dipercayai tinggal.

Setelah rundingan dengan kerajaan Thai selesai, DOJ berkata, ia akan menyediakan salinan saman sivil kepada pihak berkuasa Thailand terhadap barangan kemas berkenaan, notis tindakan pelucuthakan, dan waran tangkap bertarikh 16 Jun tahun lepas.

Ini berdasarkan perjanjian bantuan guaman bersama (MLA) antara kedua-dua negara.

“Apabila kerajaan menerima pengesahan daripada pihak berkuasa pusat Thailand bahawa ia telah menerima waran tangkap terhadap aset defendan, kerajaan akan bertindak ke arah membatalkan aset defendan,” katanya dalam pemfailan 2 Nov yang dilihat oleh Malaysiakini .

Pada 15 Jun tahun lepas, DOJ memfailkan saman pelucuthakan sivil atas pelbagai aset yang dipercayai dibeli menggunakan hasil penyelewengan 1MDB yang telah disalurkan melalui sistem kewangan Amerika Syarikat, termasuk barangan kemas.

DOJ berkata Low telah menggunakan wang yang diselewengkan daripada terbitan bon 1MDB pada 2012 untuk membeli barang kemas itu dengan harga AS$ 1,695,475 dari tukang emas yang berpangkalan di New York, Lorraine Schwartz Inc.

Low memberikan invois untuk barang kemas itu pada 28 Nov 2012, termasuk berlian Jenis 2A yang sempurna dengan 7.53 karat, 3.05 karat, dan 3.08 karat. Goh sepatutnya mengambil barang kemas itu di Hong Kong. – MalaysiaGazette