Sebahagian murid sedang menikmati sarapan roti yang disedikan pihak sekolah kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Sekolah Kebangsaan Desa Tasik, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 SEPTEMBER 2018 - foto hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengkaji untuk menyediakan skim sarapan percuma berkhasiat untuk anak-anak dari keluarga B40, kata Menteri Pendidikan Datuk Dr Maszlee Malik.

Beliau yang berada di Jepun mengiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini dalam lawatan kerja tiga hari ke negara matahari terbit berkata, kajian berkenaan merupakan hasil lawatan beliau ke sekolah awam Itabashi Daiichi Elementary School yang terletak Itabashi-ku, Tokyo, Isnin.

“Lawatan hampir tiga jam itu memberi peluang untuk mengetahui sendiri kaedah pembelajaran yang melahirkan generasi yang mempunyai karakter yang baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Maszlee, KPM juga berhasrat untuk memupuk budaya kebersihan dan disiplin dari peringkat tadika sehingga peringkat pendidikan tinggi.

Beliau turut mengadakan lawatan ke Itabashi City Hall di mana Datuk Bandarnya, Takeshi Sakamoto melahirkan hasrat untuk mengadakan bandar berkembar selain mengeratkan kerjasama dalam bidang pelancongan dan pendidikan.

“Datuk Bandar Itabashi City Hall juga berhasrat menaja pelajar-pelajar Jepun untuk tinggal bersama keluarga angkat di Malaysia dan merasai pengalaman unik di Malaysia,” katanya lagi.

Maszlee berkata pertemuan beliau dengan Menteri Pendidikan, Budaya, Sains dan Teknologi Jepun, Masahiko Shibayama di Tokyo, Selasa, menyentuh isu penubuhan kampus cawangan di Malaysia.

Tiga universiti di Jepun iaitu University of Tsukuba, Nippon Designers School dan Ritsumeikan Asia Pacific University menzahirkan rancangan penubuhan kampus cawangan di Malaysia, katanya lagi.

“Operasi Nippon Designers School dijangka bermula tahun 2019. University of Tsukuba dijangka memulakan operasi pada tahun 2020 jika semua perancangan berjalan lancar,” tambah beliau.

Sehubungan itu kata Maszlee, KPM memulakan langkah memberi sokongan dari aspek pencarian lokasi, memudah cara proses permohonan penubuhan, pendaftaran dan piawaian serta dalam soal pengambilan penuntut.

KPM memberikan komitmen dan sokongan padu bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri agar universiti-universiti Jepun menubuhkan kampus cawangan mereka di Malaysia, jelas beliau.

Perdana Menteri ketika berucap pada majlis penganugerahan ijazah kehormat daripada University of Tsukuba di kampus universiti itu di Tokyo Isnin berkata, beliau ingin melihat universiti Jepun mewujudkan kampus cawangan di Malaysia bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia bukan sahaja didedahkan kepada sistem pendidikan negara itu, tetapi turut mempelajari budayanya.

— BERNAMA