Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO memberi amaran kepada pihak tertentu yang cuba mengganggu Perlembagaan Negara menerusi hasrat mahu menratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih 70 tahun UMNO mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu, Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Katanya, apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan kerajaan Persekutuan tiba-tiba mahu menafikan hak Ketuanan Melayu dalam Perlembagaan.

umno01
Sambutan luar biasa ahli akar umbi pada program Jelajah Presiden UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) di Negeri Sembilan.

“Kita dengan tegasnya menolak ratifikasi ICERD dan memberi amaran kepada pihak yang cuba mengganggu gugat Ketuanan Melayu.

“Jangan sekali-kali ganggu Perlembagaan, jangan usik agama Islam, jangan usik Raja-Raja Melayu, jangan ganggu Hak Orang Melayu dan jangan usik Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya berucap pada program Jelajah Presiden UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) bersama akar umbi di Negeri Sembilan hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan.

Dalam ucapannya juga Ahmad Zahid mengingatkan ahli UMNO supaya terus bangkit berjuang dengan penuh berani membongkar satu demi satu penipuan yang dilakukan kerajaan PH.

Beliau turut menaikkan semangat ahli akar umbi dengan mengajak mereka berjuang penuh keikhlasan dan bekerja keras untuk mengembalikan semula kerajaan Persekutuan di bawah pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette