Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad
Dr. Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Meskipun pengambilan vaksin pneumokokus dan influenza bagi jemaah haji dan umrah tidak diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi namun pengambilan kedua-dua vaksin berkenaan amat digalakkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, bakal jemaah haji dan umrah digalak mendapatkan imunisasi yang komprehensif iaitu vaksin meningokokus yang diwajibkan, pneumokokus dan influenza sebelum berangkat ke Tanah Suci sebagai langkah perlindungan daripada jangkitan penyakit.

“Pengambilan imunisasi secara komprehensif bukanlah hanya untuk jemaah haji dan umrah sendiri malah untuk mengelakkan mereka dari menjadi pembawa virus berkenaan kepada anggota keluarga terutamanya bayi dan kanak-kanak selepas kembali dari mengerjakan ibadah. Jangkitan kepada bayi dan kanak-kanak boleh membawa maut,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Imunisasi Haji dan Umrah bertemakan Imunisasi Sepanjang Hayat di Kementerian Kesihatan di sini hari ini, Dzulkefly berkata vaksin pneumokokus dan vaksin influenza boleh didapati di klinik dan hospital swasta.

Menerusi kenyataan media mengenai Kempen Imunisasi Haji dan Umrah, penyakit pneumokokus dan influenza boleh mengakibatkan radang paru-paru dan ia penyebab utama kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan jemaah haji dan umrah. – MalaysiaGazette