Dr Mazlina Abu Bakar
Aktivis Wanita Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Mazlina Abu Bakar bercakap pada sidang media semasa membuat laporan polis selepas diugut di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Ampang Jaya, Ampang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 07 NOVEMBER 2018

AMPANG – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak menolak kemungkinan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempunyai kepentingan dalam Rising Charm Sdn Bhd, syarikat yang membangunkan semula asrama SiberTel,

Aktivis wanitanya, Dr Mazlina Abu Bakar mendakwa, syarikat itu tidak memiliki tanah tersebut tetapi  Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memberi kelulusan untuk membangunkan semula projek asrama terbabit.

“Kita tak berani cakap (kroni Azmin Ali) cuma mereka ini mempunyai keuntungan dan berkepentingan, mungkin pemaju baru, kita pun tak faham, ini melibatkan kepentingan individu atas kepentingan ramai.

“Kita hanya persoalkan bagaimana Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memberi kebenaran membangun semula kepada satu syarikat pemaju yang tidak memiliki tanah tersebut.

“Malah tiada persetujuan daripada pemilik rumah kepada pemaju tersebut, sama ada sukarela atau satu surat yang ditandatangani. Kelulusan membangun ini dikeluarkan oleh MMKN,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Julai tahun lepas, PPIM menggesa Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor supaya tidak bersikap lepas tangan berhubung isu pampasan lebih RM13 juta kepada 208 pembeli projek asrama SiberTel.

Projek asrama SiberTel pada asalnya dibangunkan oleh Bidari Ehsan Sdn. Bhd. yang sudah gulung tikar serta dalam proses pelupusan hutang kerana gagal melaksanakan terma dan syarat yang termaktub di dalam perjanjian jual beli.

Bagaimanapun projek itu telah diambil alih oleh Rising Charm Sdn Bhd yang mahu membaik pulih dan membangunkan semula projek terbengkalai Sibertel.

Ketika itu, Rising Charm hanya menawarkan pampasan RM10,000 dibayar dalam tempoh 36 bulan atau menawarkan kepada pembeli untuk membeli unit baharu di tapak sama dengan harga hampir 300 kali ganda harga asal.

Mazlina juga berkata, projek asrama sejak 13 tahun lalu bukan terbengkalai sebaliknya dibiarkan tanpa penghuni selepas kontrak penyewaan 10 tahun yang dijanjikan pemaju asal tidak dipatuhi.

“Pemaju terlibat dengan SiberTel ini sudah bangkrap, ini tangggungjawab dia kepada pelikuidasi untuk kumpul semua harta ini dan serahkan kepada pemiutang atau pemilik-pemilik unit.

“Sebaliknya  pelikuidasi ini buat usaha untuk jual hartanah-hartanah ini menyebabkan pemilik-pemilik unit sangat sedih.

“Kita juga bergaduh apabila satu perjumpaan yang dibuat Rising Charm melibatkan pemilik unit yang  mana mereka nak melupuskan hartanah ini dengan harga yang sangat tidak masuk akal,” katanya.

Mazlina turut mendakwa pihaknya masih sukar menemui Mohamed Azmin sehingga beliau meletakkan jawatan Menteri Besar sejak 9 Mei lalu bagi mengatasi kemelut tersebut.

“Kita tak pernah dapat jumpa (Azmin Ali) sebab kes kami tersangkut di peringkat Datuk Iskandar Abdul Samad.

“Kita dapat jumpa Exco Perumahan dan kita tanya macam mana pemaju penyelamat boleh dapat kebenaran membangunkan semula tanpa pemilikan tanah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette