Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

SHAH ALAM – Jangan sekadar memberi kritikan ‘kosong’ tentang pelaksanaan mekanisme baharu subsidi petrol bersasar, sebaliknya salurkanlah teguran serta pandangan ke arah penyelesaian isu terbabit, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kritikan membina itu mungkin dapat membantu kerajaan yang kini sedang berbincang dengan pihak berkepentingan untuk mencari kaedah paling sesuai merangka mekanisme subsidi bersasar terbaik supaya pemberiannya kelak akan lebih lancar kepada golongan terlibat.

“Kritikan dan teguran (daripada mana-mana pihak) boleh tetapi adalah lebih baik beri juga kaedah penyelesaiannya (mekanisme subsidi petrol bersasar).

“Berilah kami dua ke tiga bulan untuk mewujudkan mekanisme tersebut. Kami harap pengusaha stesen minyak, syarikat petrol dan persatuan pengguna boleh salurkan maklumat kepada kerajaan dalam isu ini kerana ia penting supaya penyaluran subsidi lebih telus,” katanya dalam satu sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke kilang coklat Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd, di Seksyen 15, di sini hari ini.

Tambah beliau, mekanisme baharu subsidi petrol bersasar itu dijangka dapat dilaksanakan seawal April depan dan jika ia memberi impak positif, kerajaan mungkin akan menggunakan kaedah sama ke atas barangan lain bagi membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Pada pembentangan Belanjawan 2019 Jumaat lepas, kerajaan akan memberi subsidi minyak secara bersasar kepada pemilik kereta persendirian dengan kapasiti enjin 1,300cc dan ke bawah atau pemilik motosikal 125cc dan ke bawah.

Melalui mekanisme itu, subsidi petrol RON95 ditetapkan sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion dan dijangka memanfaatkan seramai empat juta pemilik kenderaan dan 2.6 juta pemilik motosikal.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata kerajaan juga sedang menjalin kerjasama dengan pelbagai syarikat termasuk pemain industri makanan dalam meneroka kaedah baharu menurunkan harga barang bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata setakat ini, beberapa syarikat menyatakan kesediaan mereka untuk berkongsi pengalaman dan maklumat berkaitan harga terutamanya makanan dengan kerajaan memandangkan 30 peratus perbelanjaan rakyat adalah ke atas jenis barangan berkenaan.

“Banyak syarikat menunjukkan minat dan mahu bantu kerajaan dalam menentukan harga barang yang munasabah kepada rakyat. Kita sedang kenal pasti dan akan adakan rundingan lanjut selepas ini,” katanya. – MalaysiaGazette