PUTRAJAYA – Kerajaan akan mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana terdapat peruntukan yang tidak berapa sesuai dengan perlembagaan.
“Kita kena pertimbangan kerana ada peruntukan yang tidak sesuai lagi,” kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau ditemui selepas menghadiri penghargaan dan pelancaran koleksi wang kertas emas di Yayasan Kepimpinan Perdana petang tadi.
Sejak kebelakangan ini, isu ICERD mendapat pelbagai reaksi masyarakat dan rata-rata berpendapat ia boleh menimbulkan berbagai persepsi negatif dalam hubungan antara kaum di negara ini.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata kerajaan juga tidak tergesa-gesa berhubung rundingan berkenaan dan akan meneliti terlebih dahulu perkara tersebut dengan lebih terperinci. -MalaysiaGazette