Zainul Rijal Abu Bakar
Zainul Rijal Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Pertemuan di antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr.  Mujahid Yusof Rawa dengan NGO Islam, peguam persendirian, penjawat awam dan ahli akademik tidak memberikan hasil yang positif.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mendakwa pertemuan yang berlangsung malam Rabu hanya berbentuk sehala, bukan dialog yang memberikan semua pihak memberikan pandangan terhadap  bantahan tindakan kerajaan menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Menteri mengambil pendirian untuk hanya mencatat tetapi tidak berdialog dengan NGO Islam yang membantah ICERD atau menyokongnya.

“Rumusannya ialah pertemuan malam tadi adalah input satu hala kepada menteri sahaja tanpa mendengar pandangan menteri sendiri seperti dilapor media. Menteri pula berjanji akan membawa suara kami ke pihak atasan.

“Kami tidak dapat berinteraksi secara dua hala dengan menteri,” katanya menerusi Facebook hari ini. 

45606198_10214431048753668_4608750541424558080_n

Malah kata Zainul Rijal lagi, wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) selain tidak membenarkan  kumpulan yang membantah tindakan itu menyatakan pandangan mendakwa NGO Islam cuba memecah-belahkan perpaduan di antara kaum. 

“Ucapan wakil Suhakam sangat mengejutkan kerana seolah memberi amaran kepada kami dan sudah hilang hak asasi manusia untuk menyatakan pendirian kami dan seolah terus menghukum NGO Islam ingin memecah perpaduan dan tidak bertamadun.

“Suhakam mahukan kerajaan menandatangani dan ratifikasi ICERD,” demikian menurut Zainul Rijal.

Mujahid bagaimanapun menurutnya, memberi jaminan bahawa sebarang tindakan kerajaan tidak akan menjejaskan kepentingan orang Melayu, Islam dan raja-raja namun  menafikan terdapat had masa yang ditetapkan kerajaan untuk meratifikasi ICERD walaupun ada menteri yang berkata sedemikian.

Zainul memaklumkan sebanyak 15 menolak daripada 20 peserta yang hadir dan hanya lima sahaja yang menyokong tindakan meratifikasi ICERD.

“Oleh kerana pertemuan ini adalah pertemuan tertutup saya tidak dapat mendedahkan apa yang disuarakan oleh peserta secara terperinci.

“Namun secara umumnya majoriti peserta tidak bersetuju ICERD ditandatangani atau diratifikasi. Daripada 20 peserta yang berucap hanya 5 yang menyokong ICERD manakala baki 15 menolak,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast