KUALA LUMPUR – Pekebun kecil boleh membuat tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) berdasarkan pengeluaran Oktober tahun ini lalu bermula 1 November sehingga 30 November.

Lembaga Getah Malaysia dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, IPG teraktif bagi bulan Oktober 2018 dengan bayaran cuplump adalah 20 sen sekilogram untuk semenanjung, 50 sen (Sabah) dan 40 sen (Sarawak).

Adalah dimaklumkan mulai Januari 2016, IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan SMR 20 FOB berada di paras RM5.50 sekilogram atau harga cuplump di peringkat ladang (farmgate) berada di paras RM2.20 sekilogram ke bawah.

“Dengan itu, pekebun kecil boleh membuat tuntutan IPG berdasarkan kepada pengeluaran bulan Oktober 2018 mulai 1hb November 2018 hingga 30hb November 2018,” katanya.

Menurut LGM harga purata peringkat ladang bagi cuplump ketika ini adalah RM2 sekilogram untuk semenanjung, RM1.70 sekilogram (Sabah) dan RM1.80 sekilogram (Sarawak).-MalaysiaGazette