Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Santai Bersama Najib Razak di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2018.
Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara sinis menegur kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung keputusan Moody’s Investors Service yang mengubah penilaian prospek Petronas daripada stabil kepada negatif.

Dengan nada sarkastik, Najib mengucapkan ‘tahniah’ atas ‘kecekapan’ kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menguruskan kewangan negara sehingga mendapat penilaian sedemikian daripada agensi penarafan tersebut.

“Tahniah Kerajaan PH, hari ini Moody’s telah downgrade outlook atau penilaian prospek Petronas daripada stabil kepada negatif.

“Inilah dia hasil kecekapan menguruskan kewangan negara dan langkah-langkah bijak yang diambil dalam Belanjawan 2019 seperti menjarah Petronas untuk bayar dividen tinggi bagi tampung kekurangan hasil,” katanya di Facebook beliau malam ini.

Moody’s dalam kenyataannya hari ini, mengesahkan penerbit domestik dan penarafan tidak bercagar kanan mata wang asing bagi Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) pada A1, namun mengubah prospek kepada negatif daripada stabil.

Keputusan Moody untuk mengubau penarafan itu kerana profil kewangan Petronas didakwa mungkin merosot sekiranya kerajaan terus meminta syarikat minyak negara itu membayar dividen yang tinggi.

Perkara itu diumumkan Naib Presiden Moody’s, Vikas Halan.

Ia berikutan pengumuman oleh kerajaan bahawa Petronas akan membayar dividen sebanyak RM26 bilion pada 2018 dan RM54 bilion pada 2019 merangkumi dividen istimewa sekali gus berjumlah RM30 bilion.

Tambah Najib, ia nyata bertentangan dengan pelaksana daripada kerajaan BN yang bersungguh-sungguh untuk kurangkan kebergantungan negara kepada hasil minyak dengan mempelbagaikan sumber, selaras dengan keperluan semasa dan sejajar dengan arus perkembangan ekonomi dunia.

“Tapi Kerajaan PH nak kembali ke zaman lama pula. Tak pernah dibuat orang,” sindir Najib lagi.

Pada Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 2 November lalu menyebut, Petronas akan membayar RM30 bilion sebagai dividen istimewa secara sekali gus kepada kerajaan pada 2019, sebagai tambahan kepada dividen tahunan biasa berjumlah RM29 bilion. – MalaysiaGazette