Mikhail Gorbachev
Mikhail Gorbachev

MOSCOW – Pemimpin terakhir Soviet, Mikhail Gorbachev memberi amaran terhadap peningkatan ketegangan antara Rusia dan Amerika Syarikat (AS) dan menyatakan Perang Dingin tidak boleh tercetus lagi.

Bekas pemimpin berusiua 87 tahun itu kini perlu dibantu memasuki dewan pawagam untuk menonton tayangan dokumentari mengenai kehidupannya, pembaharuan Soviet dibawah pimpinannya pada 1980an dan berakhirnya Perang Dingin.

Beliau bercakap di dewan pawagam di Moscow selepas menyaksikan dokumentari Meeting Gorbachev arahan Werner Herzog dan Andre Singer ketika ditanya samada dunia dapat mengelak Perang Dingin.

“Kita mesti elak,” katanya seperti dipetik Reuters.

“Bukan sahaja Perang Dingin, kita perlu teruskan laluan yang dirancang. Kita perlu mengharamkan peperangan. Apa yang lebih penting ialah menghapuskan senjata nuklear,”.

Didakwa oleh kebanyakan warga Rusia sebagai lelaki yang melakukan pembaharuan yang menjurus kepada kejatuhan Soviet, Gorbaches disanjung di Barat sebagai lelaki yang membantu menamatkan Perang Dingin.

Gorbachev yang keadaan kesihatannya dilihat tidak begitu baik berkata, dunia bergerak secara berbahaya mendekati persaingan senjata baharu.

Pada bulan lalu, satu ruangan dalam New York Times menyatakan Gorbachev mengecam AS selepas Presiden Donald Trump berkata, negara itu merancang untuk meninggalkan perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana yang ditandatangani Gorbachev dan Ronald Reagan pada 1987.

Perjanjian tersebut menghapuskan semua peluru berpandu konvensional dan nuklear berasaskan darat jarat dekat dan sederhana milik kedua-dua negara di Eropah.

Dalam kenyataan bertulis yang dibaca oleh pembantunya sebelum tayangan bermula, Gorbachev berkata: “Saya percaya kita boleh menghentikan Perang Dingin baharu, “Saya akan melakukan apa sahaja untuk ini,”.

“Paling bahaya ialah kembalinya konfrantasi, permulaan persaingan senjata baharu. Mereka sudahpun bercakap mengenai perang nuklear seolah-olah ia sesuatu yang boleh diterima. Ia sedang disediakan, senarionya sedang dibincangkan,”. – Agensi