Tun Mahathir Mohamad bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Tun Mahathir Mohamad mengakui meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membubarkan partinya dalam pertemuan baru-baru ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berpendapat, UMNO sekarang perlu dibubarkan kerana parti itu bukan lagi ada prinsip perjuangannya.

“Saya suruh bubar kerana secara benarnyanya sudah tiada UMNO cuma hanya badan yang berdaftar tiada lagi prinsip.

“Tiada guna kekal dalam parti yang mengutamakan duit sebab itu UMNO macam itu perlu dibubar,” katanya yang juga Perdana Menteri dalam siaran video di facebook PPBM hari ini.

Mahathir juga mengulangi nasihat kepada ahli dan pemimpin UMNO yang mahu menyertai PPBM mesti ‘membuang’ sifat buruk mereka dalam UMNO sebelum itu.

“UMNO dahulu dipandang tinggi kini parti itu dipandang jijik oleh rakyat Malaysia itu pasal mereka kalah. UMNO tidak pernah kalah sebelum ini.

“Mereka sudah seleweng dan dipengaruhi wang. Cash is king punca mereka kekal dalam UMNO akhirnya kelakuan mereka tidak disenangi rakyat dan tolak mereka,” katanya lagi.

Mahathir juga mengakui, ada sesetengah pemimpin PPBM agak gusar dengan ‘kehadiran’ bekas pemimpin UMNO kerana bimbang survival mereka terancam namun menegaskan PPBM bukan parti seperti UMNO tetapi mengutamakan agama, bangsa dan negara dalam perjuangannya. – MalaysiaGazette