Mohd Apandi Zainudin
Mohd Apandi Zainudin

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya Pertubuhan Pembangunan dan Konsultasi Bandar Tasik Senangin (BISDEC) akan menganjurkan kejohanan berbasikal dalam usaha memupuk masyarakat mencintai sukan itu.

Dikenali sebagai BISDEC Fun Ride 2019, ia bakal dianjurkan secara usaha sama dengan Gajah Terbang Riders (GTR), pada 27 Januari tahun depan.

Pengerusi Eksekutif BISDEC, Mohd Apandi Zainudin berkata, sukan berbasikal antara kegiatan riadah yang semakin mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia.

“Aktiviti berbasikal melibatkan pelbagai peringkat umur serta lapisan masyarakat ini sangat popular sehinggakan kita melihat, sentiasa ada penunggang yang berkayuh dalam kumpulan melalui bandar, pekan serta kawasan kejiranan.

“Saban hari kita juga disajikan dengan penganjuran pelbagai acara serta kejohanan melibatkan sukan ini,” katanya kepada Malaysia Gazette, semalam.

Menurut Mohd Apandi, sukan itu bukan sahaja sangat bermanfaat untuk kesihatan, malah mampu memupuk jalinan persahabatan yang erat di kalangan penunggang, di samping menyemarakkan lagi perpaduan dalam masyarakat.

“Acara ini juga bertujuan menyambut tahun baru 2019 dengan bertemakan kesihatan dan keceriaan,” katanya.

Ghapur Juned
Ghapur Juned

Sementara itu, Timbalan Presiden GTR, Ghapur Juned berkata, penganjuran BFR2019 yang julung kali diadakan itu adalah acara riadah kemasyarakatan.

“GTR adalah sebuah persatuan sukan yang berdaftar dan berpusat di Jalan Besar Beranang.

“Kerjasama antara BISDEC dan GTR dalam penganjuran BFR2019 ini melakar sejarah tersendiri kerana ianya adalah acara riadah pertama dianjurkan secara besar-besaran di Mahkota Hills, Lenggeng. Kami jangka dapat menarik kira-kira 500 peserta,” jelas Ghapur.

Bisdec
Pertubuhan Pembangunan dan Konsultasi Bandar Tasik Senangin

BFR2019 juga akan merancakkan lagi kekuatan dalam pembinaan ukhwah kerana selain acara utama berbasikal, pihak penganjur turut mengadakan karnival riadah yang penuh aktiviti.

Acara sampingan bagi seisi keluarga antaranya Fun Market, Free Market, Target & Shoot, BOMBA101, Community Policing, pemeriksaan kesihatan percuma, persembahan seni bela diri tradisional serta persembahan dari penyanyi tersohor tanah air turut bakal menyerikan BISDEC Fun Ride 2019.

Pelbagai kaunter jualan dan perkhidmatan bagi memudahkan urusan masyarakat setempat turut dibuka.

Selain dari matlamat mempromosikan gaya hidup sihat dan menggalakkan hidup bermasyarakat, penganjuran BFR2019 ini juga selaras dengan hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim dalam menjadikan Bandar Tasik Senangin (BTS) sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan di kawasannya.

Ia juga dapat merealisasikan matlamat menjadikan BTS sebagai hub sukan yang terkenal di Negeri Sembilan secara khasnya dan Malaysia amnya.

Penganjuran BFR2019  ini juga akan dijayakan dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan dan kerajaan Negeri Sembilan, manakala Malaysia Gazette adalah Portal Rasmi Media Rasmi BFR2019. – MalaysiaGazette