Subahan Kamal

TUMPAT – Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yakin Malaysia mampu menempatkan diri dalam kelompok 10 pasukan terbaik dunia menjelang hujung tahun ini.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Kejohanan Hoki Dunia bakal berlangsung 28 Nov hingga 16 Dis ini, akan memberi ruang kepada pasukan hoki negara meraih kedudukan lebih baik berbanding tempat ke-12 dunia ketika ini.

“Walaupun kita dalam kumpulan maut bersama Jerman, Belanda dan Pakistan, saya yakin pemain kita akan memberi tentangan sengit bagi meraih mata penting bukan sahaja untuk perlawanan tersebut tetapi bagi mencapai sasaran 10 pasukan terbaik dunia.

“Kita yakin untuk menghadapi sebarang cabaran mendatang kerana persediaan dilakukan sebaik mungkin walaupun menentang ketiga-ketiga negara yang pernah menjulang trofi kejuaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Pembangunan Hoki Peringkat Kelantan di Sekokah Menengah Kebangsaan (SMK) Tumpat di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Teknikal KHM Terry Walsh dan Presiden Persatuan Hoki Kelantan Mohamad Azam Ismail.

Mengulas lanjut, Subahan berkata pihaknya juga yakin Malaysia mampu berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik dunia selepas pusingan kelayakan Olimpik yang dijadual bermula tahun depan.

“Kita tidak mahu memberi tekanan kepada pemain dan jika pasukan berada dalam kelompok 10 pasukan terbaik dunia, ia sudah dianggap sebagai satu pencapaian terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette