Program realiti pertama melibatkan pencarian model dalam talian (online) dikenali Miss Pink Lady.

KUALA LUMPUR – Seramai 12 wanita bersaing dalam program realiti dalam talian (online) iaitu Miss Pink Lady bagi mencari seorang model  bermula 1 Disember ini.

Dibawakan oleh jenama produk kecantikan wanita, juara program bakal membawa pulang hadiah utama bernilai RM10,000.

Miss Pink Lady disiarkan secara langsung setiap Sabtu pukul 9 malam menerusi youtube  Pink Lady TV, Facebook dan Instagram akaun misspinklady.tv.

Penonton juga diberi peluang mengundi finalis kegemaran dan berpeluang memenangi hadiah wang tunai dan hadiah iringan lain pada penghujung setiap rancangan.

Acara kemuncak Miss Lady akan berlangsung pada pertengahan Februari  depan.

Finalis yang terpilih dalam program terbitan iCube Studio itu akan ditempatkan di dalam sebuah banglo dan diberi tugasan untuk dinilai daripada pelbagai sudut selaian keupayaan peragaan.

Pengarah Program, Azwan Ismail berkata, setiap episod akan memaparkan aktiviti peragaan, fotografi, kerja amal, kerja periklanan TV, aktiviti lasak dan sebagainya.

“Bagi memastikan program berjalan lancar, kami telah membuat persiapan rapi bagi mengangkat program ini setanding program realiti antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman finalis yang berlangsung di Hotel EDC Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengarah Urusan iCube, Mohd. Hafiz Naslallizi pula memberitahu pihaknya mencari seseorang yang bukan sahaja hebat dari segi peragaan tetapi mempunyai pelbagai bakat untuk menjadi bintang serba boleh mengikut kehendak industri hari ini.

“Juri akan menilai setiap tugasan dan penyingkiran akan dibuat sekiranya ada finalis yang gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, model antarabangsa Sunshine dilantik sebagai mentor untuk membimbing finalis Miss Pink Lady. – MalaysiaGazette