Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan bercakap pada sidang media mengenai Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman di Dewan Utama, Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2018
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendididkan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu pengurangan dan penangguhan bayaran balik pinjaman pendidikan.

Menurutnya, beliau mengambil tanggungjawab penuh ke atas kegagalan Pakatan Harapan (PH) dalam menunaikan janji ke atas perkara tersebut sebagaimana termaktub dalam manifesto pilihan raya pada Mei lepas.

“Saya mohon maaf daripada saudara-saudari, dan berjanji akan usahakan agar paling kurang, prinsip asal, iaitu tidak mahu membebankan anak muda berpendapatan rendah tetap dapat dilaksanakan,” katanya lapor FMT.

Bekas ketua sebuah badan pemikir itu berkata demikian dalam ucapan terbukanya kepada ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini.

Wan Saiful berkata, beliau menghabiskan masa berbulan-bulan bagi mencari jalan untuk melaksanakan janji tersebut, tetapi tidak mengetahui tentang kedudukan hutang negara yang dikatakan mencecah lebih satu trilion ringgit.

Beliau berkata, PTPTN berhadapan tunggakan hutang peminjam ingkar sebanyak RM40 bilion.

“Saya mahu memohon maaf dan pada waktu yang sama memohon izin untuk kita ‘move forward’ daripada janji yang malangnya tidak dapat kita laksanakan ini,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Wan Saiful membuat keputusan mengejut apabila bertindak melepas jawatan sebagai penasihat khas kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau memberikan alasan membuat keputusan itu kerana mahu memberikan tumpuan ke atas badan berkanun yang dinaunginya lebih-lebih lagi selepas pembentangan Belanjawan 2019 lalu.

Ketua Parti Peribumi Bersatu Malaysia Perlis itu turut menyatakan sudah berbincang dengan Maszlee untuk melepaskan jawatan tersebut sejak dua bulan lalu dan turut mendapat persetujuan daripada Ahli Parlimen Simpang Renggam itu. – MalaysiaGazette