Wan Saiful Wan Jan
Ahli Majlis Tertingginya, Wan Saiful Wan Jan (tengah) bersama bekas Pengerusi GPMSWP Ekma Feroza (kiri) dan Pengerusi GPMSWP baharu Khairul Rizam Dato Abu Samah (kanan) selepas merasmikan Persidangan GPMSWP Tahuan 2018 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPURĀ – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengakui Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) antara pertubuhan anak muda yang mampu menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik.

Ahli Majlis Tertingginya, Wan Saiful Wan Jan berkata, penyertaan wakil parti politik dalam GPMS bukan satu masalah kerana idealisme mereka lebih mementingkan semangat kerjasama dalam kerja-kerja amal dan kebajikan.

“Bagi saya itu tiada masalah sama ada UMNO, Pas, DAP mahupun PKR atau mungkin tiada parti.

“Kalau dia menghayati semangat sebenar di sebalik pertubuhan gabungan pelajar anak muda ini, ia (politik) tidak penting dari parti mana mereka datang.

“Itulah keunikan badan bukan kerajaan (NGO), ia boleh bawa berbeza pandangan politik untuk buat kerja kebajikan berdasarkan teras semangat sebenar,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), di sini, semalam.

Beliau mengulas dakwaan PPBM mahu meletakkan wakilnya dalam GPMS sebagai satu cara untuk menguasai pertubuhan itu bagi membantu Pakatan Harapan (PH) meraih sokongan politik dalam kalangan pengundi anak muda.

Sebelum ini, MalaysiaGazette juga melaporkan bahawa jawatan timbalan presiden GPMS akan diberikan bekas calonnya yang tewas pada satu kerusi Parlimen di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Bagaimanapun langkah itu tidak disenangi di peringkat akar umbi susulan pelantikan jawatan itu tidak melalui pemilihan dan undian dalam persidangan tahunan GPMS Kebangsaan yang bakal diadakan hujung tahun ini.

Wan Saiful juga menyindir mana-mana pihak yang menolak kepelbagaian parti politik dalam GPMS agar memilih parti komunis jika mahu satu fahaman sahaja.

“Bagi saya kalau kita nak semua orang sama pandangan politik, baik kita buat parti komunis di Malaysia ini, satu parti saja, tiada parti lain.

“Realitinya Malaysia adalah sebuah negara demokrasi, kita meraikan kepelbagaian pandangan politik,” katanya.

Katanya lagi, semua pihak perlu menghormati persatuan pelajar khususnya GPMS yang mempunyai idealisme sendiri dan tidak terkongkong kepada fahaman politik sehala sahaja.

“Kita fikir kita kena hormati kebebasan yang dimiliki oleh persatuan pelajar, dulu saya juga duduk dalam persatuan pelajar dan saya boleh faham, paling penting kita kena idealisma sendiri.

“GPMS adalah salah satu pertubuhan yang ada idealisme sendiri.

“Bagi saya dia (GPMS) setuju dengan pandangan politik saya atau tidak, itu tidak penting,” katanya.

Beliau berkata, jika idealisme GPMS tidak dihormati malah pandangan mereka dinafikan, sikap itu tiada beza dengan pemerintahan terdahulu.

“Dia ada pandangan, saya kena hormati pandangan itu dan kalau saya menafikan pandangan mereka, saya tidak beza dengan orang sebelum ini.

“Bagi saya pandangan yang dipegang oleh mana-mana pertubuhan kita kena hormat terutamanya kalau berbeza dengan pandangan kita,” katanya. – MalaysiaGazette