Gambar hiasan

KUANTAN – Seramai 107 penduduk Kampung Ulu Atok di Raub, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selepas kampung mereka dinaiki air pada awal pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, operasi memindahkan mangsa bermula pada 2 pagi, dan mereka yang terdiri daripada 27 keluarga kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Ulu Atok.

“APM dimaklumkan kejadian banjir itu sekitar 1.50 pagi oleh ketua kampung berkenaan. Banjir dipercayai berlaku kerana hujan lebat yang berlarutan selama beberapa jam sebelum itu.

“Kampung tersebut terletak di kawasan rendah dan hujan lebat menyebabkan air sungai berhampiran melimpah,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Zainal menambah tiada mangsa yang cedera dan operasi pemindahan melibatkan agensi lain seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. – Bernama