Seorang petani, Nordin Gurnadi menyembur racun serangga pada pokok tomato tanamannya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Bajet 2019 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2018.

JOHOR BAHRU – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) tidak akan menarik balik pemberian subsidi kepada golongan nelayan dan petani, biarpun terdapat pengurangan peruntukan terhadap kementerian itu dalam Belanjawan 2019.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub yang memberikan jaminan berkenaan berkata pihaknya sebaliknya hanya akan melaksanakan subsidi bersasar kepada golongan itu bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak, menerima subsidi berkenaan.

“Untuk tarik, tidak. Cuma kita akan buat apa dinamakan subsidi bersasar. Kita akan fokus kepada golongan yang benar-benar menepati kriteria; sama ada mereka petani, pesawah dan nelayan.

“Sebab itu, kita melakukan pemutihan (proses saringan) kerana ia mengelakkan ketirisan. Jangan ada nelayan yang mendapat bantuan nelayan tetapi dia bukan nelayan. Saya tidak hendak perkara-perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita sama ada kerajaan akan menarik balik pemberian subsidi kepada nelayan dan petani berikutan pengurangan peruntukan dalam Belanjawan 2019 selepas menghadiri Rumah Terbuka Deepavali bagi kawasan Parlimen Pulai di Taman Bukit Aliff di sini, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 Nov lepas, MoA menerima peruntukan sebanyak RM4.4117 bilion dengan RM3.057 bilion daripadanya untuk perbelanjaan mengurus manakala selebihnya iaitu RM1.360 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan itu adalah lebih rendah berbanding RM6.5 bilion yang diterima MoA dalam Bajet 2018 ketika Barisan Nasional masih menjadi kerajaan.

Sementara itu, berhubung dakwaan kepimpinan PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) kononnya belanjawan kali ini tidak memberi perhatian terhadap nasib golongan petani, pesawah, penternak berikutan terdapat banyak pemotongan peruntukan terhadap golongan itu, Salahuddin berkata beliau tidak nampak ada asas di sebalik tuduhan itu.

“Saya tidak nampak belanjawan kali ini tidak akan dapat membantu golongan petani dan sebagainya di seluruh negara. Jadi tuduhan-tuduhan seperti itu saya rasa amat-amat tidak matang.

“Saya sendiri akan memastikan bahawa jumlah (peruntukan) itu cukup dengan langkah penjimatan yang dilakukan dalam kita menghadapi isu kewangan dan ekonomi pada masa ini,” katanya.

— BERNAMA