Khashoggi
Jamal Khashoggi dilihat memasuki bangunan konsulat pada 2 Oktober lalu dan tidak keluar dari premis berkenaan. foto BBC

ANKARA – Turki telah menyerahkan rakaman audio pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi kepada Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), Jerman, Perancis, Britain, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Sumber Turki sebelum ini berkata, pihak berkuasa negara itu memiliki rakaman audio pembunuhan itu.

“Kami mempunyai rakaman itu. Kami telah memberikannya kepada Arab Saudi, AS, Jerman, Perancis dan Britain, kepada semua mereka. Mereka telah mendengar semua perbualan. Mereka tahu,” kata Erdogan seperti dipetik akhbar Hurriyet Daily.

Khashoggi yang merupakan wartawan Washington Post didakwa diculik di konsulat Arab Saudi pada 2 Oktober lalu.

Pada awalnya, para pengawai Arab Saudi berkata, Khashoggi telah meninggalkan bangunan itu namun kemudian menyatakan beliau meninggal dunia dalam ‘operasi nakal’ yang tidak dirancang.

Pendakwa Raya negara Arab Saudi, Saud al-Mojeb berkata, beliau dibunuh dalam serangan yang telah dirancang.

Bercakap sebelum berlepas ke Perancis bagi menghadiri sambutan berakhirnya Perang Dunia Pertama, Erdogan menggesa Arab Saudi mengenalpasti pembunuh Khashoggi yang merupakan salah seorang daripada sepasukan 15 orang yang ditahan dan mereka tiba di Turki beberapa hari sebelum wartawan itu dibunuh.

“Tidak perlu menyimpang isu ini, mereka tahu dengan pasti pembunuhnya atau pembunuh-pembunuhnya yang merupakan anrtara 15 orang ini. Kerajaan Arab Saudi boleh mendedahkannya dengan membuatkan 15 orang ini bercakap,” kara Erdogan.

Erdogan mendakwa Mojeb, yang melawat Istanbul bagi membincangkan siasatan dengan rakan sejawatnya dan memeriksa konsulat negara itu di Istanbul, enggan bekerjasama dan melambatkan saisatan. – Agensi