Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Isu pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus menjadi perdebatan dalam kalangan pemimpin kerajaan dan pembangkang dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Rembau (BN), Khairy Jamaluddin ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2019 mendakwa, dasar PTPTN yang kini dilaksanakan oleh kerajaan PH adalah jauh lebih kejam terhadap pelajar di negara ini.

“Dasar yang dijanjikan oleh PH dalam manifesto lain. Apa yang dilaksanakan ketika ini jauh lebih kejam sebenarnya.

“Benarlah dikata, begitu mudah berjanji bagai bulan dan bintang namun alah mahu, bertimbang enggan, cungkil merih akan pembayar. Janji PTPTN untuk bayaran balik sehingga gaji graduan mencapai RM4,000 tiada lagi kedengaran.

“Bahkan kini gaji melebihi RM1,000 pun sudah diwajib dengan potongan gaji. Pengecualian bayaran bagi graduan dengan dengan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama yang sebelum ini diberikan kepada semua pelajar kini hanya dihadkan kepada peminjam dari B40 sahaja. Itupun hanya potongan bukan biasiswa penuh,” ucapnya.

Khairy kemudian dicelah oleh Ahli Parlimen Ayer Hitam (BN), Datuk Seri Wee Ka Siong yang mengingatkan janji-janji manifesto Pilihan Raya Umum 13 dan 14 pembangkang yang kini kerajaan Pusat.

“Pada PRU-13, mereka telah mengatakan pendidikan percuma adalah sesuatu yang tidak mustahil malah PTPTN tidak perlu dibayar kembali. Seterusnya, pada PRU14 pula, mereka berjanji bayaran boleh dibuat sekiranya mempunyai gaji lebih daripada RM4,000 dan ke atas.

“Memang begitu senang untuk berjanji bulan dan langit tapi apabila mahu melaksanakannya, ianya sungguh sukar pula. Memberikan alasan hutang sehingga RM40 bilion pula,” kata Ka Siong.

Beliau kemudian dicelah kembali oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai (PH), Fahmi Fadzil yang kembali menuding jari kegagalan kutipan hutang PTPTN sehingga mencecah RM40 bilion kerana kerajaan BN sendiri.

“Bukankah pentadbiran terdahulu bukan sahaja gagal mengutip kembali hutang sebanyak RM40 bilion itu sebenarnya? Bukankah itu kegagalan anda sendiri?

“Bukan sahaja hutang itu gagal itu dikutip malah kerajaan terdahulu juga telah gagal mendapatkan graduan-graduan ini peluang pekerjaan yang baik sehingga membolehkan mereka membayar balik pinjaman tersebut,” kata Fahmi.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Lenggong (BN), Datuk Shamsul Anuar Nasarah bangkit menempelak Fahmi dengan cubaan menuding jari kembali kepada kerajaan BN atas kegagalan PH menunaikan janji manifesto.

“Janganlah jadi seperti Ahli Parlimen Simpang Renggam, baucer buku yang merupakan inisiatif BN anda pula ambil pujian itu.

“Kita sentiasa buat kutipan pusing balik tetapi anda-anda yang menentang agar kutipan PTPTN itu dibuat,” tegasnya.

Dalam pada itu, Khairy memohon kepada PH supaya tidak segan dan malu dalam meneruskan usaha serta idea BN seperti menawarkan PTPTN menjadi ‘pinjaman boleh ubah’ dengan kadar bayar mengikut pencapaian.

“Kita dulu juga berikan tawaran diskaun bagi peneyelesaian penuh dan pembayaran konsisten akan diteruskan serta aka nada elaun sara hidup khas kepada pelajar daripada keluarga miskin tegar.

“Selain itu, peruntukan bagi baucer buku atau kad siswa 1Malaysia (KADS 1M) turut tidak di nyatakan. Hanya selepas emndapat tekanan, baru Menteri Pendidikan memohon kepada Perdana Menteri. Inilah masalah kerajaan kini, tak fikir banyak, banyak yang tertinggal,” tegasnya. –MalaysiaGazette