Kakitangan beberapa syarikat milik kerajaan dipercayai masih lagi menunggu lampu hijau daripada Kementerian Kewangan untuk kelulusan bagi pembayaran bonus.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan perlu mempertimbangkan untuk mengeluarkan penyata kewangan kerajaan yang menyeluruh dan terperinci setiap suku tahun supaya kedudukan kewangan negara diketahui dengan jelas oleh rakyat.

Meskipun Bank Negara Malaysia ada berbuat demikian tetapi langkah sama perlu juga dilakukan oleh Kementerian Kewangan.

MGF_TAN_SRI_RAMON_NAVARATNAM_05
Ramon Navaratnam

Ahli ekonomi tempatan, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, langkah itu membolehkan rakyat dan semua pihak mengetahui secara terang kedudukan aliran kewangan negara.

“Sebelum ini, perincian itu boleh diketahui semasa pembentangan bajet. Tetapi disebabkan banyak isu kewangan negara timbul seperti yang berlaku pada hari ini, adalah wajar cadangan pendedahan kewangan kerajaan dibuat setiap suku tahun.

“Penyata itu perlulah terperinci dan jelas butiran agar rakyat tahu kedudukan aliran tunai, hutang dan sebagainya kerana ia mencakupi pelbagai kategori.

“Cara ini lebih wajar dan telus, malah rakyat juga mengetahui apa yang berlaku,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika diminta mengulas mengenai maklumat kewangan negara.

Ia susulan kenyataan kenyataan Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa tidak mendapat maklumat mencukupi ketika merangka manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu.

Dakwanya, kekurangan maklumat itu termasuk tentang status kewangan negara.

Disebabkan itu, Wan Saiful berkata, PH tidak dapat merangka secara tepat program-program yang dirangka dalam manifesto yang akhirnya menyebabkan wujud kelemahan dalam manifesto berkenaan. – MalaysiaGazette